DALAM era ketidaktentuan global yang semakin memuncak, sektor pertahanan bukan lagi sekadar pelengkap kepada pembangunan negara, sebaliknya menjadi teras kepada kelangsungan kedaulatan dan kestabilan ekonomi.
Di tengah-tengah landskap ini, Boustead Holdings Berhad (Boustead) muncul sebagai antara pemain tempatan yang berada di posisi strategik untuk melonjak lebih jauh dalam industri pertahanan serantau.
Bagi Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Berhad, Datuk Indera Ir Dr Ahmad Sabirin Arshad, perubahan geopolitik dunia hari ini sebenarnya memberi kelebihan tersendiri kepada Boustead, khususnya dengan pengkhususan syarikat dalam sektor pertahanan nasional.
“Saya kira, situasi geopolitik yang tidak menentu memberikan respons positif kepada Boustead kerana kami khusus dalam industri pertahanan nasional,” katanya kepada Bisnes Sinar.
Menurut Ahmad Sabirin, keupayaan pertahanan bukan lagi satu pilihan strategik, tetapi merupakan keperluan asas bagi memastikan sesebuah negara mampu bertahan dalam apa jua keadaan.
“Apabila kita mempunyai keupayaan ketenteraan yang kukuh, kita dapat memastikan kebergantungan kendiri (self-reliance), iaitu tidak bergantung kepada negara ketiga sekiranya negara diuji dengan ancaman luar,” ujarnya.

Boustead menyasarkan untuk menjadi lima pemain utama industri pertahanan di Asia Pasifik.
Kesedaran inilah yang menjadi pemangkin kepada hala tuju Boustead hari ini, membina keupayaan pertahanan yang kukuh dalam negara sambil meletakkan asas untuk bersaing di peringkat serantau.
Malah, aspirasi syarikat kini lebih jelas apabila menetapkan sasaran untuk muncul sebagai antara lima pemain utama industri pertahanan di Asia Pasifik.
“Kita (Malaysia) ingin muncul dalam kelompok lima teratas di Asia Pasifik dan 10 teratas di peringkat global dalam industri pertahanan.
“Untuk mencapai sasaran itu, kita memerlukan kerjasama strategik dengan negara maju bagi mempercepat proses pembelajaran,” katanya.
Dalam usaha merealisasikan matlamat tersebut, Boustead memberikan tumpuan kepada enam segmen utama pertahanan, iaitu aeroangkasa, maritim, kapal selam, keselamatan siber, satelit serta sistem pertahanan darat.
Langkah strategik
Namun, di sebalik rancangan yang tersusun, cabaran utama masih terletak pada kebergantungan terhadap rantaian bekalan global, terutama dalam aspek teknologi dan komponen kritikal.
“Kita masih mengimport beberapa komponen penting. Jadi, sebaiknya kita perlu membina rangkaian bekalan yang lengkap dalam negara tanpa kebergantungan kepada negara asing,” kata Ahmad Sabirin.
Bagi mengatasi cabaran ini, Boustead mempergiat usaha dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebagai langkah strategik jangka panjang.
Pendekatan yang diambil bukanlah bermula dari kosong, sebaliknya memanfaatkan teknologi sedia ada melalui konsep imitation and innovation.
“Kita masih lagi membeli peralatan dari luar negara. Kita perlu strategi baharu, kita mahu mempercepat R&D di Boustead dengan konsep imitation and innovation.
“Kita akan mendapatkan teknologi dari luar dan kemudian membuat pembaharuan mengikut keperluan dalam negara,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Sabirin melihat keperluan untuk memperluas kerjasama di peringkat antarabangsa, khususnya dalam kalangan negara Asia.

Ahmad Sabirin
Ujar beliau, ketika ini rantau Asia belum mempunyai satu platform standard yang menyatukan kekuatan industri pertahanan.
“Kita perlu melihat bagaimana boleh membentuk satu ekosistem Asia melalui diplomasi ketenteraan. Sekarang ini, kita masih tiada platform standard yang digunakan negara Asia.
“Jika kita dapat menjadi negara Asia yang kuat seperti Kesatuan Eropah dan NATO, saya yakin ia akan memberi peluang lebih besar untuk membangunkan industri,” tegasnya.
Langkah ke arah itu turut disokong melalui kerjasama strategik Boustead dengan negara seperti Turki dan China, yang mempunyai kelebihan dalam pembangunan teknologi dan tenaga kerja mahir.
Kolaborasi ini dilihat sebagai pemangkin penting dalam mempercepat pemindahan ilmu serta meningkatkan keupayaan tempatan.
Seiring dengan pengukuhan fokus dalam sektor pertahanan, Boustead turut melaksanakan transformasi dalaman bagi memastikan struktur organisasi lebih selari dengan aspirasi baharu syarikat.
Fokus kini diperkemas kepada sektor pertahanan sebagai teras utama, di samping mengekalkan hartanah dan hospitaliti sebagai sokongan kepada kestabilan kumpulan.
Dalam menyokong agenda R&D, Boustead tidak bergerak secara bersendirian, sebaliknya mengamalkan pendekatan triple helix yang menggabungkan kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi akademik.
Kolaborasi dengan agensi seperti STRIDE dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menjadi asas penting dalam mempercepat pembangunan teknologi pertahanan negara.
Walaupun fokus terhadap pertahanan semakin diperkukuh, asas kekuatan Boustead tetap disokong oleh strategi diversifikasi yang telah lama diamalkan.
Penglibatan dalam pelbagai sektor seperti hartanah, farmaseutikal serta minyak dan gas memberikan kestabilan kewangan yang penting untuk menyokong pelaburan jangka panjang dalam industri pertahanan.
Hala tuju
Dari sudut kepimpinan pula, Ahmad Sabirin menekankan bahawa kejayaan pelaksanaan strategi bergantung kepada disiplin organisasi dan kejelasan hala tuju.
Katanya, dalam mengurus kumpulan yang mempunyai pelbagai segmen, penyelarasan menjadi elemen kritikal.
“Saya selalu berkata, tiga fungsi utama seorang Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Berhad ialah menetapkan strategi dan visi. Kedua, menyelesaikan masalah, membina peluang dan memuktamadkan perjanjian,” katanya.
Dalam membuat keputusan strategik, Boustead juga mengambil pendekatan seimbang antara risiko dan pulangan, dengan setiap langkah dinilai secara teliti sebelum dilaksanakan.

Keupayaan pertahanan bukan lagi satu pilihan strategik tetapi keperluan asas bagi memastikan sesebuah negara mampu bertahan dalam apa jua keadaan.
“No pain, no gain. High risk, high return. Tetapi setiap risiko akan dilihat secara teliti dan dibuat secara calculated risk. Kita melihat unjuran dan bagaimana untuk mengatasi risiko tersebut sebelum membuat keputusan,” katanya.
Sebagai syarikat milik penuh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan berkait rapat dengan Kementerian Pertahanan, Boustead memainkan peranan penting sebagai pemacu komersial dalam pembangunan industri pertahanan.
Tanggungjawab ini bukan sahaja melibatkan pelaksanaan projek strategik, tetapi juga pembangunan ekosistem vendor tempatan.
“Kita mempunyai tanggungjawab besar untuk membangunkan sekurang-kurangnya 400 vendor menjelang 2030. Ini penting untuk mencipta nilai baharu dalam ekosistem industri pertahanan negara,” katanya.
Akhirnya, segala usaha ini kembali kepada matlamat yang lebih besar, iaitu memastikan industri pertahanan Malaysia bukan sahaja mampu berdikari, tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Saya mahu melihat industri pertahanan sedia ada terus berkembang maju. Pada masa sama, ia memberi impak kepada ekonomi serta menjaga kedaulatan negara daripada sebarang ancaman luar,” katanya.
Dengan strategi yang semakin terarah, pelaburan dalam R&D diperkasa serta jaringan kerjasama yang semakin meluas, Boustead kini berada di landasan kukuh untuk merealisasikan aspirasinya sebagai antara lima kuasa utama industri pertahanan di Asia Pasifik, satu perjalanan yang kini bergerak dengan lebih tersusun, jelas dan berfokus.



