‘Budak baru habis sekolah’ ikat Perak II – Utusan Digital

IPOH: Hasrat Perak FC II mengutip mata penuh dalam perlawanan dengan Skuad Projek MSN-FAM tidak kesampaian spabila sekadar seri tanpa jaringan di Stadium Perak malam ini.

Apa yang dibimbangkan jurulatih Syamsul Saad bahawa anak buahnya menghadapi kesukaran menjadi kenyataan apabila ditentang oleh anak didik Yusri Che Lah yang mengutip mata keduanya setakat ini.

Perlawanan antara dua pasukan ubi muda menyaksikan kedua-dua pasukan mengamal corak pantas.

Kedua-dua pasukan berbalas serangan dan Perak dapat dua peluang keemasan tetapi gagal disudahkan barisan hadapan.

Corak 4-5-1 yang berorientasi bertahan oleh Yusri nyata berkesan untuk menyekat kemaraan anak buah Syamsul yang membariskan tiga pemain Liga Super iaitu Firdaus Saiyadi, Adib Abdul Ra’op dan Mohamad Farid Khazali

Skrip babak kedua tidak banyak berubah dengan Perak meneruskan asakan tetapi skuad Projek FAM-MSN kental bertahan.

Walaupun tuan rumah berjaya menjaring gol tetapi jaringan pada minit ke-58 itu tidak dikira kerana ofsaid.

Malang menimpa Perak II apabila terpaksa meneruskan baki sembilan minit perlawanan dengan 10 pemain selepas Mohd. Nasrol Amri Kamarul Azhar dilayang kad merah pada minit ke-81.

Begitupun pelawat gagal memanfaatkan kelebihan itu manakala tuan rumah juga tidak mudah menyerah untuk mempertahan kubu nereka daripada dibolosi. – UTUSAN