Kelantan ikat JDT II – Utusan Digital

JOHOR BAHRU: Kelantan FC berjaya mengikat Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dengan keputusan 1-1 dalam perlawanan Liga Premier yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini malam ini.

Perlawanan bagaimanapun bermula perlahan dalam babak pertama apabila tiada jaringan dihasilkan kedua-dua pasukan.

Separuh masa pertama bagaimanapun menyaksikan JDT II lebih mendominasi perlawanan dengan beberapa percubaan ke arah gol pasukan pelawat dihasilkan.

Percubaan pertama JDT II adalah pada minit ke-12 apabila cubaan Stuart John Wilkin di depan gol berjaya ditangkap kemas penjaga gol Kelantan FC, Nik Mohd. Amin Ahmad.

Kelantan FC turut berpeluang mendapatkan jaringan pembukaan tiga minit kemudian namun percubaan Jack Raymond Hindle juga berjaya ditangkap Muhammad Haziq Nadzli.

PENYERANG JDT II, Fernando Rodriguez meraikan jaringannya ketika menentang Kelantan FC dalam aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos,Larkin malam ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JDT II sekali lagi membuat percubaan ke arah gol pasukan lawan namun percubaan Nicolas Alberto Fernandez tersasar ke tepi gawang.

Babak kedua permainan menyaksikan perlawanan lebih rancak apabila pasukan Harimau Selatan berjaya mendapatkannya jaringan pembukaan pada minit ke-59 menerusi percubaan Fernando Rodriguez Ortega.

Kelantan FC bagaimanapun tidak menunggu terlalu lama untuk mendapatkan jaringan penyamaan oleh pemain gantian, Nurshamil Abd. Ghani pada minit ke-70.

JDT II berpeluang mendapatkan gol kemenangan pada minit ke-87 namun tandukan Awang Muhammad Faiz Hazziq Awang Fathi berjaya ditangkis penjaga gol Kelantan FC.

Keputusan 1-1 kekal sehingga pengadil Muhammad Nasruddin Muhammad Tamrin meniup wisel penamat menyaksikan kedua-dua pasukan hanya membawa pulang satu mata masing-masing.