BUDI95 bermula, pengguna teruja jadi antara terawal terima manfaat inisiatif

BUDI95 bermula, pengguna teruja jadi antara terawal terima manfaat inisiatif

Kuala Lumpur: Suasana di stesen-stesen minyak di sekitar ibu kota dan beberapa negeri tengah malam ini “agak meriah” berikutan peluasan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada 16 juta rakyat Malaysia mula dinikmati pada 12 tengah malam.

Mahu menjadi antara yang terawal menerima manfaat BUDI95 menyebabkan ada yang baru tamat kerja syif malam dan ada juga yang sengaja menunggu detik tengah malam di stesen minyak untuk menikmati harga baharu petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter.

Tinjauan Bernama di beberapa stesen minyak mendapati proses pengisian petrol dan pengesahan transaksi berjalan dengan lancar hasil kesungguhan petugas yang bersiap sedia sejak awal malam.

Pengguna yang ditemui ternyata berpuas hati kerana kaedahnya amat mudah, iaitu mereka hanya perlu membuat pengesahan menggunakan MyKad di stesen minyak dan bayar mengikut kaedah pilihan sama ada secara tunai, kad kredit atau debit, atau e-dompet.

Kemudahan itu benar-benar menyenangkan dan membuktikan komitmen kerajaan dalam melaksanakan dasar yang mesra rakyat.

Pengusaha stesen minyak di Jalan Tun Razak di sini, Wan Muhammad Hafidz berkata pihaknya telah membuat persediaan lebih seminggu bagi memastikan kelancaran pelaksanaan BUDI95 di premisnya.

Beliau berkata para pekerja dilatih untuk memberikan bantuan sekiranya pengguna menghadapi kesulitan semasa melakukan transaksi.

“Persediaan dari segi sistem dan latihan pekerja telah berjalan sejak awal. Kami sebenarnya sudah bersedia sejak seminggu lepas untuk menghadapi hari yang ke-30 bulan ini,” katanya ketika ditemui malam ini.

Sementara itu, Safiyyah Affandi, 32, yang bekerja sebagai pembantu tadbir berkata proses pengisian petrol sangat mudah dan dia tidak berdepan dengan sebarang masalah.

Pendapat sama diakui Amirul Hakim, pengacara media sosial berusia 22 tahun berasal dari Batu Pahat, Johor, yang berkata dia hanya mengambil masa kurang dua minit untuk mengisi minyak ke dalam kenderaannya.

“Sangat mudah, tak sampai dua minit sudah selesai,” katanya yang menetap di ibu negara.

Di SELANGOR, Mohamad Johari Mustaffa yang ditemui di Petron Batu Tiga, Shah Alam mengakui tidak menghadapi masalah menggunakan kaedah baharu untuk menikmati inisiatif BUDI95.

Bagaimanapun, operator kilang berusia 23 tahun itu mengakui belum benar-benar membiasakan diri dengan penggunaan MyKad untuk menebus subsidi di stesen minyak, namun dia yakin kaedah itu bukanlah perkara rumit, sebaliknya boleh dikuasai dengan cepat.

Sementara itu, pemandu lori I. Ahrishan, 34, berkata pelaksanaan BUDI95 yang berkuat kuasa pada tengah malam ini membantunya menjimatkan perbelanjaan harian.

“Saya pergi balik kerja naik motosikal dan teringat yang tengah malam ini BUDI95 bermula. Lepas mengisi minyak penuh, saya perasan berjaya menjimatkan kira-kira RM1.50 berbanding perbelanjaan biasa,” katanya.

Di PERAK, seorang pereka bentuk model mainan, Oh Jee Shyan, 42, sanggup menunggu hingga detik tengah malam bagi menjadi antara yang pertama menikmati subsidi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh.

Oh yang membelanjakan kira-kira RM400 sebulan untuk petrol berkata menerusi BUDI95, dia dapat menjimatkan lebih kurang RM12 bagi setiap kali isian, seterusnya membantu mengurangkan kos bulanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top