Bukan dihempap batu, tetapi terlanggar bongkah batu

Bukan dihempap batu, tetapi terlanggar bongkah batu

am@hmetro.com.my

Georgetown: Buruh binaan warga Bangladesh yang maut di Jalan Paya Terubong, di sini, Jumaat lalu, bukan dihempap batu seperti yang dilaporkan, tetapi disyaki berlanggar dengan bongkah batu yang jatuh lebih awal.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, ia hasil siasatan dan kajian teknikal oleh Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri yang turun ke lokasi sehari selepas kejadian.

Katanya, kajian mendapati, bongkah batu itu dipercayai menggelongsor akibat lilitan akar pokok reput dan lemah serta faktor tanah yang lembut akibat hujan.

“Berdasarkan kesan batu pecah dan kedudukan mangsa, lelaki berkenaan disyaki berlanggar dengan batu yang jatuh lebih awal dan bukan dihempap batu seperti yang dilaporkan.

“Bongkah batu itu dipercayai bergolek dari permukaan cerun dan berlanggar dengan bongkah lain di longkang bahu jalan sebelum jatuh ke jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zairil berkata, bagi cadangan keselamatan awam, JKR negeri akan memasang papan tanda amaran batu jatuh di sepanjang lokasi, manakala kerja mitigasi jangka panjang sedang diperhalusi di peringkat jabatan.

“Saya berharap pengguna jalan raya lebih berhati-hati ketika menggunakan jalan berkenaan,” katanya.

Difahamkan, pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) dan kanvas sudah dilakukan oleh pihak JKR negeri bagi memerangkap batu dan tidak terjatuh ke jalan raya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan mengenai kejadian malang yang menimpa lelaki warga Bangladesh apabila motosikal yang ditunggangi terbabas selepas disyaki terkena bongkah batu di Jalan Paya Terubong arah ke Farlim, pada jam 12.45 pagi, Jumaat lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top