syafiq.aznan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pengarah Sukan Selangor FC (SFC), Michael Feichtenbeiner menjelaskan DNA yang cuba diterapkan dalam pasukan itu adalah disusun khas untuk skuad Gergasi Merah dan ia bukanlah ‘DNA Jerman’ seperti yang dicanang oleh penyokong bola sepak tempatan.
Jelasnya, struktur DNA bola sepak Selangor dibentuk mengikut kehendak pasukan ini dan sudah dirancang dengan rapi sekali gus tidak sama seperti ‘DNA Jerman’.
“Untuk mengikut sepenuhnya ‘DNA Jerman’ atau DNA mana-mana pasukan Eropah secara keseluruhan, ia bukan cara yang terbaik kerana setiap pasukan mempunyai perbezaan daripada segi kelebihan dan kelemahan tersendiri.
“Ia bukan sesuatu yang boleh diambil bulat-bulat dari mana-mana pasukan yang ada. Ia bukan setakat meliputi cara permainan dan corak latihan namun turut membabitkan mentaliti serta program pembangunan bola sepak yang lebih menyeluruh dari peringkat akar umbi.
“Tetapi kita boleh mempelajari pelbagai perkara baharu dari pendekatan mereka,” katanya.
Pada masa sama, pengendali dari Jerman itu menegaskan pembentukan itu akan mengambil masa khususnya selepas banyak perbincangan sudah dilakukan untuk melihat cara bagi mereka mendapatkan corak permainan mengikut struktur DNA SFC.
“Matlamat besar semestinya fokus pada pasukan utama Gergasi Merah untuk mendapatkan kemenangan. Kita akan lakukannya dengan bahagian DNA SFC yang sedang giat diterapkan satu persatu.
“Kita mahu menghasilkan pemain tempatan dan akademi sendiri untuk menyediakan pemain muda yang sedia beraksi dalam pasukan utama. Bagi mencapai objektif ini, ia perlulah dilakukan secara terperinci dalam setiap aspek seperti sains sukan dan lain-lain.
“Proses penambahbaikan tidak akan terhenti kerana banyak aspek bola sepak moden yang sentiasa ada pembaharuan dan penemuan baharu.
“Kita harus berfikiran terbuka dan melihat bagaimana bola sepak moden berfungsi untuk terus menjayakan DNA SFC ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




