Bukan kerajaan tak mahu Undi18 tapi prosesnya ambil masa – Zuraida

Bukan kerajaan tak mahu Undi18 tapi prosesnya ambil masa – Zuraida

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta bersabar dan tidak cepat membuat rumusan berhubung pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguh pelaksanaan Undi 18 dan Pendaftaran Pemilih Automatik sehingga September 2022.

Itu kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Zuraida Kamaruddin.

Menurutnya, pelaksanaan Undi 18 yang berkemungkinan akan memakan masa dan tidak dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Jelas Ahli Parlimen Ampang, walaupun pada dasarnya ia sudah lulus di Parlimen namun pada masa sama ia perlu masa untuk proses perlaksanaanya.

“Umum kena faham, semua ini perlukan masa. Banyak yang perlu dilakukan untuk pelaksanaan Undi 18 ini, kena lihat dan kaji pelbagai aspek.

“Kita juga perlu ada sistem canggih supaya apabila pilihan raya tidak ada pula yang mengatakan berlakunya penipuan dan sebagainya. Bukankah semua itu perlu masa?

“Kita tidak cakap tidak mahu buat tapi yang ‘bising-bising’ kat luar sana itu pun sedia maklum proses itu makan masa. Jangan juga kita lupa, selepas pertukaran kerajaan, kita dilanda pula dengan musibah Covid-19.

“Janganlah guna perkataan seperti tidak ada demokrasi dan kerajaan takut segala macam lagi, kita akan laksanakan tapi prosesnya akan memakan masa dan bukan sekelip mata sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Insurans Perlindungan kepada Ahli Pertubuhan Bukan Kerajaan di Ukay Perdana hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan gagal laksana Undi18, alasan Covid-19 tak munasabah – Calvin

Sebelum itu, sejak pengumuman SPR yang mendakwa Perintah Kawalan Pergerakan membantutkan proses persediaan Unid 18, ramai tampil mengkritik pelaksanaan tersebut.

Malah hari ini, sekumpulan anak muda dari pelbagai NGO juga parti pembangkang telah bertindak melakukan protes di luar Parlimen tanda protes dengan pengumuman tersebut.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, dilaporkan berkata pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh mengekang penularan Covid-19.- MalaysiaGazette