
Kok Seong
SHAH ALAM – Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dilihat amat tepat dengan konteks semasa kerana ia bukan lagi sekadar peringatan, tetapi amaran yang wajib diinsafi dan dituruti seluruh rakyat di negara ini.
Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, kesedaran dan penghayatan terhadap Rukun Negara mesti diterapkan dalam diri setiap individu tidak kira bangsa, agama dan kaum.
Khususnya dalam konteks Rukun Negara yang dititahkan Baginda pada Isnin, menurut beliau, ia perlu dilihat sebagai ideologi dalam usaha memupuk perpaduan negara.
“Ini kerana Rukun Negara digubal setelah berlakunya peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Iktibar daripada peristiwa tersebut harus diperingatkan secara keras sepertimana dilakukan oleh Tuanku semalam.
“Apabila berlakunya situasi mencabar institusi diraja kemudian ada pihak yang menyahut dengan kenyataan provokasi, inilah yang berpotensi mencetuskan kembali peristiwa pada 1969 itu.
“Hilangnya hormat oleh pihak tertentu kepada bangsa dan ketuanan negara ini di mana bangsa Melayu sebagai tuan negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sultan Ibrahim ketika Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bertitah bahawa mana-mana individu yang tidak mahu mengikut prinsip Rukun Negara, tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia.
Titah baginda, Rukun Negara yang diperkenalkan pada 31 Ogos 1970, merupakan aku janji dan ikrar setiap warga Malaysia bagi membina semula perpaduan kaum serta menjamin keharmonian masyarakat.
Oleh itu, baginda menyeru kepada semua pihak agar menghayati setiap prinsip Rukun Negara dan menjadikannya amalan dan garis panduan hidup sebagai rakyat di negara ini.



