Pernah diludah ketika berkempen, Marina tempelak dakwaan takut masuk kawasan Melayu

Pernah diludah ketika berkempen, Marina tempelak dakwaan takut masuk kawasan Melayu

Menerusi hantaran yang dikongsi di Facebook, Marina menegaskan bahawa naratif berkenaan tidak berasas dan meminta pihak tertentu berhenti mengelirukan masyarakat.

“Takkan sampai aku nak cerita lagi macam mana aku dengan seorang kawan perempuan Cina masuk berdua sahaja berjalan di Felda masa kempen edar flyers jumpa orang kampung.
“Aku seorang perempuan Melayu yang pernah berkempen dan diludah ke muka oleh seorang pakcik. Kau rasa aku kisah ke?” katanya.

Sudah bersedia sejak 2021

Menurut Marina, beliau sudah bersedia sejak tahun 2021 untuk bertanding di DUN Layang-Layang dan berdepan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Malah, pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2022, beliau turut berperanan sebagai pengurus kempen di Parlimen Mersing yang mempunyai kira-kira 76 peratus pengundi Melayu.

“Ini bukan pasal menang tak menang. Gopalakrishnan dari PKR pun boleh menang di Tiram pada tahun 2018 dengan majoriti 1500 lebih. Keputusan aku tak ada kaitan dengan cerita konon merajuk, nak duduk tempat selesa. Mengarut.
“Aku beritahu satu perkara, kalau kau orang perhatikan setiap tulisan aku. Kenapa dari dulu aku cakap sukarelawan aku adalah tulang belakang?
“Mereka lain bangsa, lain agama tapi kenapa aku sangat hormati mereka bila nak ambil keputusan ini? Sebab mereka tahu sebab keputusan aku dan mereka berada dengan aku dalam semua keadaan,” jelasnya.

Pada 31 Mei lalu, Marina mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam mana-mana pilihan raya pada masa hadapan serta mengambil keputusan untuk berundur daripada dunia politik.

Terdahulu, tular sepucuk surat yang didakwa menunjukkan beliau menolak tawaran untuk bertanding di kerusi DUN Tiram selain jawatan pengerusi dalam sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sekiranya tewas dalam pilihan raya.

Susulan itu, Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching menjelaskan bahawa parti berkenaan mempunyai pelan strategik untuk membina rekod dan reputasi Marina sebagai wakil rakyat sebelum memperluaskan khidmatnya ke kawasan yang bukan kubu tradisi parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Scroll to Top