Bukan mudah untuk Naim Daniel

Bukan mudah untuk Naim Daniel

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Putrajaya : Penyanyi, Naim Daniel, 28, mengakui bukan mudah untuk dia berdepan dengan pendakwaan di mahkamah ketika ini.

“Ia bukanlah satu perjalanan yang mudah, ‘its take a lot of things’, tetapi saya percaya proses ini juga adalah salah satu cara untuk menjadikan saya lebih matang pada masa hadapan.

“Saya pastikan sentiasa berada dalam kalangan insan tersayang termasuk keluarga dan rakan-rakan.

“Selain itu, saya juga kekal cergas. Kalau diri sendiri tidak sihat, bagaimana saya mahu jalani hari dengan baik? Cukup tidur, fokus dan kekalkan inspirasi dalam penulisan lagu,” katanya ketika ditemui media di perkarangan Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Naim berkata, hidup perlu diteruskan dan dia perlu menyibukkan diri dengan perkara yang berfaedah.

Dalam masa sama, Naim turut mendedahkan dia ada terlepas beberapa peluang dalam kerjaya sepanjang proses perundangan berjalan.

Namun, dia kekal positif untuk menghadapinya selain gembira tawaran persembahan yang masih ada, namun mulai sekarang lebih berhati-hati dalam memilih.

“Buat masa ini, saya mahu beri tumpuan penuh terhadap penulisan lagu kerana itu saluran terbaik untuk saya berkarya.

“Ia juga tanggungjawab saya sebagai penyanyi dan anak seni. Saya mahu fokus pada penulisan kerana merasakan mempunyai kelebihan dalam bidang ini,” katanya yang tiba seawal jam 6 pagi di mahkamah dan turut menunaikan solat Subuh di situ.

Naim berkata, dia turut gembira kerana segala urusan hari ini berjalan lancar dengan semua pihak memberikan kerjasama yang baik.

Dalam perkembangan lain, dia juga sibuk menyiapkan rakaman lagu serta kerja promosi lagu terbaharu yang dijangka dilancarkan hujung bulan ini.

“Buat masa ini, saya sedang fokus kepada penghasilan lagu baharu. Proses rakaman hampir selesai dan insya-Allah akan dilancarkan hujung bulan ini.

“Saya anggap ini sebagai satu rezeki yang tidak disangka-sangka. Saya juga sentiasa mendoakan kebaikan buat semua yang masih menyokong dan mendengarkan karya saya.

“Ketika ini, fokus saya hanya kepada kerja dan ingin terus melangkah ke hadapan dengan lebih baik,” katanya.

Naim hadir ditemani barisan peguamnya iaitu Datuk Amirul Ridzuan Hanif, Mohd. Irwan Sumadi dan Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique bagi pengurusan kes amang seksual fizikal membabitkan

seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, hari ini.

Pada 17 Jun lalu, Naim, ketika dihadapkan ke mahkamah sama, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berumur 17 tahun 7 bulan bagi tujuan seksual pada jam 8.56 malam, 19 Mei lalu di Ukiyo Hotel di Petaling Jaya, Selangor.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga disebat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top