Penyanyi Mimi Fly mengaku khilaf dan sedia menerima teguran apabila muzik video terbaharunya berjudul ‘Serumpun’ yang dilancarkan sebelum ini disalah erti oleh ramai pihak.
Kata Mimi, lagu tersebut sebenarnya diambil dari kepelbagaian budaya Nusantara sekaligus bimbang jika pendekatan seninya itu di salah tafsir dan menyimpang dari niat sebenarnya.
“Lagu ni diubah oleh saya sendiri. Saya mengambil ilham dari kepelbagaian budaya dialam nusantara zaman berzaman.
“Sejak ia dilancarkan saya terima banyak respons dari peminat saya dan juga pendengar muzik Malaysia. Ada yang baik, dan ada juga yang bimbang kalau pendekatan seni saya ditafsir berlainan dan menyimpang dari niat sebenar.
“Ia juga mendapat teguran dari mufti wilayah persekutuan dan saya ambil maklum dan akur dengan kekhilafan saya dan telah menurnkan muzik video tersebut,” katanya.
Mimi berkongsi perkara demikian menerusi hantaran terkini di Instagram miliknya.
Mengulas lanjut, Mimi juga menegaskan, dia tidak berniat untuk menghina budaya dan agama selain mahu menghasilkan karya yang berkualiti dan memberi makna kepada orang lain.
Justeru, muzik video ‘Serumpun’ telahpun dilancarkan pada 19 Mac ini tanpa menyelitkan babak kontroversi (berkemban) berkenaan.
Dalam pada itu, Mimi juga memaklumkan, dia sedia menerima kritikan sekaligus memohon maaf di atas apa yang berlaku.
“Sebagai anak Melayu bukanlah niat saya untuk menghina budaya dan agama kita.
“Dan sebagai anak seni saya sentiasa pastikan karya saya diterima, berkualiti dan beri makna yang dalam kepada yang lain.
“Jadi saya mengambil maklum diatas teguran yang diberikan dan nasihat. Terima kasih kerana beri kritikan yang baik dan sekali lagi saya memohon minta maaf kepada semua,” jelasnya.