Bukan sekadar pembahagian kerusi, kerjasama UMNO-Pas penyatuan ummah – Annuar Musa

SHAH ALAM – Kerjasama antara UMNO dan Pas sekiranya dapat direalisasikan akan memberi manfaat kepada penyatuan ummah, kata Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, ini kerana muafakat antara kedua-dua parti itu bukan sekadar berkaitan pembahagian kerusi.

“Sebaliknya melibatkan tanggungjawab memimpin penyatuan nasional demi Malaysia yang lebih baik,” ujarnya menerusi hantaran Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO berkata, pertembungan antara saranan MN 2.0 dengan keputusan UMNO yang kini menggerakkan Rumah Bangsa adalah satu jalan bagi menjayakan semula agenda penyatuan ummah.

Nada sama turut disuarakan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan sudah tiba masanya MN 2.0 dijayakan demi memperkukuh politik Melayu dan umat Islam di beberapa pilihan raya negeri (PRN).

“Usaha penyatuan itu perlu disegerakan, bermula dengan PRN Johor, Negeri Sembilan dan terus diperkukuh pada masa hadapan,” katanya.

Scroll to Top