norhayati_nordin@hmetro.com.my
TAHUN ini, genap sedekad penyanyi dan pelakon, Aman Aziz berkecimpung dalam industri hiburan selepas memulakan langkahnya di pentas Akademi Fantasia (AF) 2014 dan bergelar naib juara.
Seiring masa berlaku, Aman yang kini berusia 31 tahun menyifatkan masih banyak perlu dibuatnya untuk memantapkan karier seni berikutan persaingan bakat baru semakin ramai, termasuk mendapatkan peluang.
Hadir dengan single baru, Marry Me Hari Ini yang dirakam secara duet bersama penyanyi Nisha Haque, pemilik nama sebenar Mohammed Razman Abdul Aziz ini berkata, ia sekadar lagu ‘catchy’ pasangan bercinta dan ingin berkahwin.
“Tapi, saya sendiri masih solo dan belum ada teman istimewa lagi. Setakat ini, hanya berkawan saja kerana perlu persiapkan diri sebaik mungkin, terutama dari segi karier dan kewangan stabil.
“Bukanlah saya tak ready (sedia) langsung atau takut nak kahwin, cuma mahu pastikan diri saya biar betul-betul bersedia untuk melangkah ke fasa itu (perkahwinan) sebab saya nak kahwin sekali saja dalam hidup,” katanya.
Menurut Aman yang popular dengan lagu Without You dan Sulit, dia pernah berhasrat untuk berkahwin pada usia 24 tahun, apabila ketika itu berasakan sudah bertemu wanita sesuai dijadikan isteri.
“Saya pernah rancang sebab dah betul-betul nak kahwin ketika berumur 24 tahun dulu. Ketika itu, saya rasa dah jumpa kekasih hati dan wanita yang serasi dijadikan teman hidup. Tapi, masa itu emak saya tak benarkan kahwin.
“Apabila saya luahkan hasrat mahu berkahwin, emak halang sebab katanya saya masih muda lagi. Dia (emak) pun berkahwin ketika umur 26 tahun dan saya dinasihatkan bersabar dulu dan fokus pada karier.
“Sekarang, bila dah masuk umur 30-an ini, saya belum fikir nak kahwin lagi sebab nak puas ‘enjoy’ dulu. Saya ingin mengejar impian dalam karier dan urusan jodoh biar takdir yang menentukan. Saya berserah pada Allah,” katanya.
Ditanya sama ada keluarganya ada bertanya mengenai perkahwinan, Aman berkata, ada juga sesekali ditanyakan berkenaan perkara itu, tapi dia memilih berterus-terang dengan jawapan sebenar.
“Kakak dan emak saya ada tanya bila nak kahwin, tapi saya berterus-terang saja dengan mereka dan Alhamdulillah, ia difahami. Saya akan kahwin selepas diri betul-betul rasa dah bersedia, tapi sekarang belum lagi.
“Doakan yang baik-baik untuk saya agar suatu hari nanti dipertemukan jodoh. Apapun, sekarang saya mahu beri keutamaan dan fokus pada karier dulu,” katanya pernah berlakon drama Patah Sayap Bertongkat Paruh dan Cina Buta.
Berbicara mengenai 2024, Aman berkata, dia merancang memberi tumpuan pada bidang lakonan untuk berlakon lebih kerap berbanding sebelum ini hanya membintangi dua atau tiga drama dalam setahun.
Jelas Aman, dia perlu selalu berlakon dan masuk ke set penggambaran lebih kerap untuk membiasakan diri supaya tidak berasa kekok.
Karier bermula baik
Meskipun tidak selalu kisah dirinya dilaporkan media, Aman mengakui dia positif kerana lebih suka muncul dengan produk berbanding sekadar berbicara mengenai peribadi semata-mata yang baginya lebih baik disimpan rapi.
Namun, Aman mengakui gembira dapat melancarkan single Marry Me Hari Ini bersama Nisha yang disifatkan seorang rakan duet wanita mudah bekerjasama, senang berbincang dan saling menghormati.
“Syukur Alhamdulillah, single Marry Me Hari Ini lagu duet pertama saya dan Nisha. Tak sangka kami mudah membentuk keserasian dan proses rakaman juga berjalan lancar kerana masing-masing memang komited.
“Jadi, saya rasa ia permulaan baik untuk kembali merancakkan karier muzik dan nyanyian saya tahun ini. Saya bertekad mahu lebih bersungguh-sungguh untuk mengejar impian.
“Malah, saya juga mengambil peluang merakamkan lagu ini secara duet untuk keluar dari kepompong ‘introvet’ diri,” katanya.
Ujar Aman, apa yang pasti sikap mesra dan ramah Nisha ketika berbual dengannya membuatkan dia selesa dan cepat serasi ketika merakamkan lagu ciptaan Ku Yen dan Rudy Nastia manakala lirik oleh Ku Yen, Aman dan Elly J itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

