am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan mencederakan jiran menggunakan sebilah sabit, pada Jun 2021.
Tertuduh, Sallehuddin Shafie @ Safie, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicara selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Ariffin Hussin, 53, dengan menggunakan sebilah sabit di sebuah rumah di Kampung Chekok Panji di sini, pada 10 malam, 2 Jun 2021.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika disabitkan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 12 Mac untuk sebutan semula kes dan tertuduh tidak dibenar diikat jamin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




