asyikin.mat@hmetro.com.my
Banyak kajian dijalankan pihak berkaitan untuk menilai tahap kecerdasan pelbagai jenis haiwan, termasuk haiwan peliharaan.
Haiwan peliharaan manakah yang paling pintar dan bagaimana kecerdasan diukur dalam kalangan haiwan berkenaan.
Untuk menentukan kedudukan tahap kecerdasan haiwan berdasarkan skala kecerdasan bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia (kecerdasan) diukur secara berbeza bagi setiap spesies.
Oleh itu, pelbagai ujian, kajian jangka panjang, pemerhatian serta perbandingan antara spesies dijalankan bagi menilai tahap kecerdasan keseluruhan haiwan yang berbeza.
1. Burung
Kajian dijalankan terhadap beberapa spesies burung menunjukkan tahap kecerdasannya sangat tinggi berbanding haiwan lain.
Burung kakak tua kelabu Afrika (‘African grey parrot’) adalah haiwan peliharaan yang popular dan mempunyai tahap kecerdasan tinggi.
Kenyataan ini disokong menerusi kajian yang dijalankan oleh Universiti Harvard yang membuktikan burung kakak tua kelabu lebih pintar berbanding kanak-kanak berusia empat tahun.
Burung ini bukan sahaja boleh bercakap, malah memiliki kelebihan lain seperti mengenal pasti objek, memahami kuantiti, membezakan warna, malah mengira.
2. Cimpanzi
Asid Deoksiribonukleik (DNA) mamalia ini 99 peratus hampir sama dengan manusia yang menjadikannya bijak.
Haiwan ini juga terkenal dengan sifat menunjukkan emosi seperti empati dan rasa menyesal.
Ia juga memiliki daya ingatan jangka panjang, mengenali diri sendiri di cermin, kenal warna, bentuk dan objek.
Ia turut berkebolehan menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan manusia.
3. Kucing
Segelintir individu menganggap kucing tidak memiliki tahap kecerdasan tinggi.
Hakikatnya, haiwan ini sangat bijak kerana ia boleh belajar helah, mengetahui namanya, memahami arahan asas dan daya ingatan lebih kuat berbanding anjing.
Sesetengah ahli psikologi berpendapat bahawa kucing lebih bertindak secara impulsif dan kurang sabar berbanding anjing.
4. Tupai
Spesies tupai terbang boleh menyesuaikan diri dengan persekitaran di bandar.
Ia juga memiliki tempat menyembunyikan makanan palsu untuk memperdaya tupai lain.
Selain itu, ia boleh berkomunikasi untuk memberi amaran kepada tupai lain.
5. Kuda
Mamalia ini berupaya belajar dan menyelesaikan masalah.
Kuda belajar membuka pintu kandang, menendang penunggang dan melepaskan diri daripada situasi mencabar.
Kebolehan kognitif membolehkan kuda berkomunikasi dengan manusia dalam cara yang difahami manusia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




