Hindari daripada memfitnah takdir Allah

Hindari daripada memfitnah takdir Allah

Dalam menghadapi perjalanan hidup sebagai seorang Muslim yang beriman, adakah kita menyangka bahawa kita akan dibiarkan tanpa sebarang ujian? Jika kita menyangka begitu, ini satu kesilapan besar bagi kita. Hal ini kerana Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud: “Apakah manusia mengira mereka akan dibiarkan (hanya dengan) berkata: ‘Kami telah beriman’ sedangkan mereka tidak diuji?”.

Daripada ayat ini jelas bahawa setiap individu yang beriman akan diuji oleh Allah SWT akan keimanannya.

Ketika ini, antara musibah yang melanda terutama di Malaysia adalah bencana alam. Ada kawasan yang dilanda banjir besar, tanah runtuh, mendapan tanah, kerosakan harta benda dan sebagainya. Maka ketahuilah Allah SWT tidak pernah membiarkan kita tenggelam dalam musibah ini dengan sia-sia.

Apa sahaja yang menimpa seseorang Mukmin, walaupun sekecil sakitnya duri, semuanya akan dicatat sebagai pahala dengan syarat seseorang itu bersabar dengan reda terhadap ujian tersebut.

Segala apa yang diuji oleh Allah SWT berbentuk musibah ini, semuanya ditentukan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Hadid ayat 22 yang bermaksud: “Setiap bencana yang menimpa di bumi dan menimpa dirimu sendiri, semuanya tertulis dalam kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami wujudkannya. Sesungguhnya yang demikian itu mudah bagi Allah”.

Ayat ini mengajar kita supaya bersangka baik dengan Allah kerana apa yang kita hadapi itu adalah dalam pengetahuan Allah SWT, seterusnya mengajar kita supaya tidak berputus asa, tetapi kembali kepada Allah SWT, memohon kekuatan, di samping menghulurkan bantuan kepada mereka yang diuji dengan musibah ini.

Musibah yang Allah SWT bekalkan ini tidak lain tidak bukan mengandungi pelbagai hikmah, antaranya pengampun dosa dan mengangkat darjat seseorang itu. Hal ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud: “Tiada suatu keletihan, tidak pula penyakit, tidak juga kegusaran, kesedihan, kesakitan atau kesusahan yang menimpa seorang Muslim sehinggakan duri yang mencucuknya sekalipun melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian daripada kesalahannya dengan sebab itu”.

Segala kesusahan, kepenatan, tekanan emosi dan kerugian yang dialami menjadi sebab terhapusnya dosa, meninggikan darjat dan mendekatkan hamba kepada-Nya. Musibah yang berat di mata manusia sebenarnya rahmat yang besar selagi kita bersabar dan bergantung harap kepada-Nya.

Namun begitu, kadangkala dalam masyarakat ada yang mengeluh dan menuding jari kepada orang lain, menuduh mereka melakukan kesalahan serta dosa sehinggakan Allah SWT menurunkan bala. Hal ini sekali gus akan membawa kepada memfitnah takdir Allah SWT dengan mendakwa bencana adalah hukuman daripada Allah khusus kepada pihak tertentu.

Tindakan sebegini hanya merosakkan akhlak dan menjejaskan kehormatan diri kita sendiri. Sepatutnya sebagai seorang Mukmin, kita perlu matang dalam melihat musibah sebagai jalan untuk kembali Allah SWT dan bermuhasabah kepada diri kita, bukan menjadi satu alasan untuk mencela serta mencari salah pihak lain dengan mengeluarkan tanggapan peribadi yang negatif sehingga menimbulkan fitnah kepada takdir.

Kesimpulannya, kita sebagai hamba Allah SWT perlu meyakini setiap musibah adalah ketetapan Allah SWT yang penuh dengan hikmah. Sesungguhnya segala ujian yang menimpa sama ada kesedihan, kerugian atau bencana bukan sia-sia. Kita hendaklah menyedari musibah itu mampu menghapuskan dosa dan mengangkat darjat seseorang Mukmin. Seterusnya kita amat perlu menjaga akhlak, musibah bukan alasan untuk menuding jari atau mencela pihak lain.

Seseorang Mukmin sentiasa memelihara adab, menjaga lisan dan menjadikan ujian sebagai peluang untuk memperbaiki serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Penulis Ketua Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top