Cabaran England Tamat

Belgium: Jurulatih England, Gareth Southgate menegaskan anak buahnya tetap menunjukkan peningkatan prestasi biarpun tewas 0-2 di tangan Belgium, awal pagi tadi sekali gus gagal melangkah ke pusingan akhir Liga Negara-Negara tahun hadapan.

Pada perlawanan itu, gol pada separuh masa pertama daripada Youri Tielemans dan Dries Mertens memastikan Belgium kekal di tangga teratas Kumpulan A2, lima mata mengatasi England yang berada di kedudukan ketiga dengan berbaki satu perlawanan.

England menguasai hampir keseluruhan perlawanan selepas ketinggalan 0-2 dalam tempoh 24 minit tetapi gagal menjaringkan gol.

Kini, kredibiliti Southgate dipersoalkan ekoran keputusannya yang mengubah formasi 4-3-3 yang menyaksikan The Three Lions menghasilkan 37 gol dalam lapan perlawanan ketika kempen Euro 2020 kepada 5-2-3 yang cuma berjaya menjaringkan 3 gol daripada lima perlawanan Liga Negara-Negara.

“Meskipun kami tidak suka dengan kekalahan dan tidak mahu tersingkir daripada kejohanan ini, namun tahap prestasi pemain menakjubkan. Saya perlu fokus kepada prestasi dan jika kamu menunjukkan prestasi yang baik, kamu biasanya akan memenangi perlawanan”, katanya.

“Saya berpuas hati dengan peningkatan yang ditunjukkan. Dalam dua perlawanan terakhir, saya tidak fikir kami berhak mendapat keputusan seperti itu tetapi inilah hakikat yang perlu diterima apabila beraksi dalam saingan kalah mati,” katanya lagi.

Sumber: BH

Akmal Hakim
Sports Desk