Johannesburg: Pemain Sensasi Liverpool, Sadio Mane menjaringkan gol bagi membantu Senegal melakar kemenangan 1-0 ke atas Guinea-Bissau, awal pagi tadi sekali gus menjadi pasukan kedua layak ke pusingan akhir Piala Negara-Negara Afrika, selepas tuan rumah, Cameroon.
Bekas Pemain Terbaik Afrika itu meledak gol pada minit ke-82 permainan menentang lawan yang terpaksa beraksi 10 pemain selepas Jorge ‘Bura’ Nogueira dilayangkan kad merah pada pertengahan separuh masa kedua
Ia lima hari yang cukup bermakna buat Mane yang menjaringkan gol pertama dan mencipta gerakan gol kedua ketika Senegal menewaskan Guinea-Bissau 2-0 di Thies berdekatan Dakar pada Rabu lalu.
Dua kemenangan itu membolehkan Senegal yang ketika ini berada dalam kedudukan teratas pasukan negara Afrika, mengutip 12 mata maksimum daripada empat perlawanan dalam Kumpulan I dan layak walaupun berbaki dua perlawanan lagi.
Senegal akan melengkapkan jadual perlawanan mereka dengan berkunjung ke Congo pada 22 Mac sebelum melayan kunjungan Eswatini lapan hari kemudian.
Bagaimanapun, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp kemungkinan besar meminta untuk Mane direhatkan bagi kedua-dua perlawanan tersebut.
Sumber: BH
Akmal Hakim
Sports Desk