Single ‘Tulus’ untuk isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuala Lumpur: Vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat mengabadikan single Tulus ciptaannya untuk wanita istimewa yang juga isterinya, Nazirah Muhammad.

Single Tulus yang ditulis pada 2008 mengisahkan tentang cinta tulus yang mula hadir daripada seseorang wanita. Ia didedikasikan kepada isteri ketika mereka masih menjadi pasangan kekasih, sekali gus luahan cintanya.

“Saya teruja kerana ini adalah lagu karya pertama yang dicipta. Lebih terharu apabila single Tulus ini mendapat sentuhan Ezra Kong. Sememangnya single Tulus ini saya tujukan khas untuk kekasih hati yang juga isteri saya”, kata Azmi yang mendirikan rumah tangga pada 2012, namun belum rezeki dikurniakan cahaya mata lagi.

Mengimbas kembali detik tercetus ilham menghasilkan lagu berkenaan pada awal 2008, Azmi berkata, dia sedang menunggu keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) ketika itu.

“Saya mengambil peluang mempelajari selok belok teknik rakaman audio dengan menggunakan komputer melalui rakan. Lalu, saya gunakan ilmu yang dipelajari untuk mencipta single Tulus. Daripada lirik, melodi, susunan muzik dan rakaman, semuanya saya lakukan sendiri. Single ini umpama projek pertama yang berjaya disiapkan daripada hasil keinginan mahu mencuba”, katanya kepada BH Online.

Azmi berkata, dia dilamar Valient Music sebagai artis rakaman, sejak awal tahun ini. Malah, dia turut digalakkan mencipta lagu sendiri dan mendalami aspek produksi muzik.

“Nak dijadikan cerita saya memperdengarkan single Tulus kepada Valient Music. Mereka setuju untuk menggunakan khidmat Ezra Kong sebagai penerbit lagu. Saat ditawarkan kontrak rakaman, antara sebab saya bersetuju adalah kerana mereka memberi peluang untuk mengetengahkan karya sendiri, di samping bekerjasama dengan penerbit muzik seperti Ezra”, jelasnya.

“Akhirnya, saya dapat menjadikan single Tulus lebih komersial”, tambahnya lagi.

Menerusi single Tulus, Azmi berharap peminatnya sentiasa melakukan kebaikan kepada orang lain, walaupun tidak mendapat balasan seperti yang diharapkan.

“Sifat tulus ini tidak pernah mengharapkan apa faedah daripada setiap yang dilakukan”, katanya.

Sumber: BH

Akmal Hakim
Glamour Desk