Cabaran laut bergelora, pencarian Prebet Zulkarnain diteruskan

Cabaran laut bergelora, pencarian Prebet Zulkarnain diteruskan

am@hmetro.com.my

Semporna: Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) bagi mengesan anggota tentera, Prebet Muhammad Zulkarnain Jaffar, 27, yang dilaporkan hilang ketika bertugas di Pulau Mataking sejak kelmarin terus digerakkan tanpa henti walaupun berdepan cabaran laut bergelora.

Hari kedua operasi menyaksikan kawasan pencarian diperluas merangkumi 108 batu nautika persegi yang dibahagikan kepada 15 sektor dengan penyertaan pelbagai agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pasukan Polis Marin (PPM) serta Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2).

Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abd Munir Abd Rani berkata, antara aset yang dikerahkan termasuk kapal KD SRI JOHOR, bot pemintas serta pesawat EC725 dan CN235 MSA bagi mempertingkat keberkesanan operasi di laut serta udara.

Beliau berkata, keadaan laut yang berombak setinggi 0.5 hingga 1.0 meter dengan tiupan angin timur tenggara 10 hingga 20 km/jam tidak menghalang pasukan penyelamat untuk meneruskan usaha pencarian siang dan malam.

Dalam pada itu katanya, jenazah Prebet Muhammad Irfan Haiqal Abdullah, 20, yang ditemukan maut semasa operasi sebelum ini, sudah diserahkan kepada keluarga dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Toh Puan Rahmah, Kampung Kuala Pari Tengah, Ipoh, Perak pada jam 12 tengah malam, semalam.

“Urusan pengebumian dilaksanakan oleh 5 RAMD dan pihak kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota terlibat.

“Kami komited meneruskan pencarian sehingga Muhammad Zulkarnain ditemui dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam media melaporkan, dalam kejadian jam 6 petang itu, dua anggota Kompeni C, Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), dilaporkan tidak hadir ketika pemeriksaan rutin kehadiran dilakukan.

Berikutan itu, usaha pencarian segera digerakkan di lokasi dengan bantuan bot dari resort berhampiran sebelum mayat Prebet Muhammad Irfan Haiqal Abdullah ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan pantai pulau berkenaan pada jam 7.25 malam.

Seorang lagi anggota, Prebet Muhammad Zulkarnain Jaffar, yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan masih bujang, sehingga kini masih belum ditemui.

Berita berkaitan:

MINDEF sahkan seorang anggota ditemukan lemas, seorang masih hilang

Tentera maut, seorang lagi hilang: Kes membabitkan lemas, punca sebenar masih disiasat

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top