Bas ekspres hilang kawalan, rempuh tiga kenderaan di Lebuhraya Karak

Bas ekspres hilang kawalan, rempuh tiga kenderaan di Lebuhraya Karak

rnoraina@hmetro.com.my

Bentong: Sebuah bas ekspres yang terbabit kemalangan dengan tiga kenderaan lain, dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh di Kilometer 47 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian daripada orang awam jam 6 petang.

“Siasatan mendapati kemalangan membabitkan bas ekspres yang membawa 39 penumpang dari Terminal Bersepadu Gombak menghala ke Raub. Semasa tiba di lokasi, bas berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu merempuh tiga kenderaan lain.

“Dalam kemalangan itu, kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaiham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau bagaimanapun meminta orang ramai yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong atau mana-mana balai polis berdekatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top