norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pendakwah dikenali Ustaz Khairul Anuar Basri menyifatkan aktiviti dakwah keagamaan pada masa kini perlu menggunakan medium sesuai seperti rangkaian platform di media sosial untuk tontonan ramai.
Menurut Khairul, tidak hanya itu, cerita dakwah yang disampaikan dulu dan sekarang juga berbeza termasuk sasaran orang yang mendengarnya (dakwah) tidak sama.
“Kalau kita tengok dulu-dulu, orang yang dengar ceramah itu kita boleh agak umurnya mesti dah veteran. Tapi, sekarang ini budak sekolah rendah dan menengah pun dengar ceramah.
“Jadi, sebagai pendakwah itu satu cabaran. Umpama kalau dulu kita nyanyi lagu Datuk Sharifah Aini dah boleh jual dah, tapi sekarang kalau nyanyi lagu arwah, budak-budak nganga. Kena nyanyi lagu lain.
“Inilah cabaran pendakwah sekarang supaya kekal relevan dengan topik dibawa dan itu akan menghidupkan dakwah. Jadi, tugas berat kepada pendakwah untuk ‘study’ dulu siapa penontonnya,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas juga dakwah pada masa kini disebarkan menerusi media sosial, Khairul berkata, ruang menyalurkan dakwah itu sekarang sudah semakin luas dan tiada sempadan langsung.
“Kalau kita tengok, sebanyak mana ‘content’ negatif, buruk dan memudaratkan boleh ada (di media sosial), sebanyak itu jugalah peluang ‘content’ yang baik-baik juga.
“Cuma, kita tiada kuasa untuk menghalang atau menghapus langsung ‘content’ yang tidak baik. Apa yang kita ada ialah kita cuba banyakkan ‘content’ baik. Di mana akhirnya ia tidak tenggelamkan pun, tapi boleh seimbangkan,” katanya.
Ujar Khairul lagi, tak dinafikan juga ketika ini sememangnya ramai orang berpaksi kepada telefon untuk menonton apa saja ‘content’. Ditambah, pengaruh media sosial itu semuanya serba cepat dan pantas.
Terdahulu, Khairul hadir pada pelancaran program Inspirasi Raudhah: Panggilan Jiwa, Penghubung Iman oleh Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) di Menara Kuala Lumpur (KL).
© New Straits Times Press (M) Bhd




