saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Cabaran Malaysia berakhir seawal pusingan pertama dalam acara trio Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia Astaf 2024 apabila tumpas 10-15, 11-15 kepada musuh tradisi, Thailand, hari ini.
Pantai Emas Qingdao, Shandong, China menjadi saksi kecundangnya skuad kendalian Mohd Hafizie Manap hanya selepas kurang sejam saingan format kalah mati itu.
Gandingan Akif Ismat Zairi, Wazir Madi (Shahrain Zameer Shamsuddin) dan Firdaus Zahari sempat mengikat dan dapat menyaingi gandingan Thailand, Siwakorn Thakanha, Teeranan Seesawang dan Wuttinun Kamsanor dalam set kedua.
Masing-masing terikat 6-6 dan 10-10 manakala kemasukan Shahrain selaku perejam gantian pada set berkenaan turut berjaya membantu mengutip mata menerusi rejaman dan hadangan kemas.
Namun rejaman gulung kidal Teeranan yang deras lebih kerap sukar ditangkis oleh Akif dan Firdaus ketika mereka bertahan selain ‘disokong’ pula siri kesilapan mudah mereka dalam menyambut servis lawan.
Semalam langkah mereka termasuk simpanan, Hariz Hipni dan Aqil Fawwaz Nasharuddin untuk ke final acara regu, dilenyapkan oleh Vietnam 15-11, 8-15, 11-15 dalam separuh akhir.
Pencapaian ini sekadar mengulangi tempat ketiga milik Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mewakili negara pada edisi sulung, 2019 juga di Qingdao.
Thailand yang menjuarai acara regu pada perlawanan akhir sebelah pagi ini dengan menewaskan Vietnam 15-6, 15-7, akan berdepan Korea Selatan dalam separuh akhir trio, pagi esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




