Cadang tubuh Suruhanjaya Siasatan Parlimen siasat isu 7 pemain Harimau Malaya

Cadang tubuh Suruhanjaya Siasatan Parlimen siasat isu 7 pemain Harimau Malaya

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Satu Suruhanjaya Siasatan Parlimen harus diwujudkan bagi menyiasat isu tujuh pemain skuad Harimau Malaya yang digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) khususnya berkaitan tatakelola pemberian kerakyatan serta dana RM30 juta yang disalurkan kerajaan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut pemerhati sukan tempatan, Zakaria Rahim atau lebih dikenali dengan panggilan Zack Rahim, Suruhanjaya Siasatan Parlimen ini perlu kerana ia babitkan perbelanjaan daripada duit rakyat serta merungkai bagaimana proses dokumentasi pemberiaan kerakyatan diberikan.

“Dan saya secara peribadi tidak setuju penubuhan Suruhanjaya Diraja, tapi saya lebih setuju ditubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Parlimen yang mana, mereka harus menjawab di Parlimen termasuk membentangkan pelaksanaan kos RM15 juta, dan tambah RM15 juta kepada NT (Pengurusan Pasukan Kebangsaan) bagaimana ia dibelanjakan setakat ini.

“Atau bagaimana wang itu dibelanjakan, ke mana arah wang itu dan bentangkan di Parlimen. Itu tugas Menteri Belia dan Sukan.

“Manakala KDN (Kementerian Dalam Negeri) pula bawa ‘finding’ siapa dalam KDN itu yang meluluskan dan menerima dokumen itu,” katanya ketika menjadi tetamu sebuah podcast tempatan yang tular di media sosial.

Untuk rekod, Jawatankuasa Siasatan Bebas Parlimen biasanya ditubuhkan bagi menyiasat pelanggaran peraturan atau isu sensitif, termasuk kesalahan oleh ahli Parlimen sendiri, menggunakan kuasa dan bidang kuasa Parlimen untuk meneliti isu penting negara seperti yang melibatkan undang-undang darurat atau ketelusan.

Sebelum ini, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk pembangunan sukan bola sepak, yang mana RM15 juta lagi akan dibiayai oleh pihak swasta.

Peruntukan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan dana berkenaan akan digunakan bagi meningkatkan program pembangunan Harimau Malaya, selain mempersiapkan pasukan utama agar lebih kompetitif dalam setiap kejohanan antarabangsa yang disertai.

Dalam pada masa sama, Zakaria turut mempersoalkan kewujudan dua jawatankuasa babitkan Jawatankuasa Khas Siasatan Bebas FAM dan Pasukan Petugas Khas Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

“Persoalan sekarang siapa ‘superior’ siapa…siapa lebih tinggi?. Cuma saya khuatir, bila dua badan penyiasat ditubuhkan seandainya ‘worst case scenario, hasil dapatan mereka berlawanan.

“Atau bercanggah dalam perkara yang sama…dia ini cakap A, dia cakap B. Jadi ia akan bercanggah, ini akan jadi satu lagi polemik baru. Kita sekarang tengah menghadapi polemik integriti dan akauntabiliti. Sama ada FAM yang tarik diri atau badan integiriti yang tarik diri, biar satu sahaja,” katanya.

Terdahulu, EAIC menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat isu berkaitan dakwaan kegagalan pengesahan dokumen pengenalan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) proses kewarganegaraan tujuh pemain naturalisasi Malaysia.

Manakala FAM pula mengumumkan pelantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan Bebas FAM bagi menyiasat isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dihukum FIFA.

Pada 3 November lalu, Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mendapati FAM dan tujuh pemain negara melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) kerana memalsukan dokumen.

Susulan keputusan berkenaan, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.9 juta) kepada FIFA sementara tujuh pemain iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazwbal dan Hector Hevel dikenakan denda CHF2,000 (lebih kurang RM10,000) serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top