MUAR – Kesibukan berkempen tidak menghalang calon MUDA Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Muhammad Amir Fikri Mustapha untuk hadir ke Mahkamah Persekutuan di Putrajaya esok bagi memberikan sokongan kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Amir Jack berkata, 30 Jun merupakan hari yang amat penting buat Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN: Rayuan akhir pendakwaan: Peguam yakin Syed Saddiq bebas
“Walaupun sekarang musim pilihan raya dan saya sibuk berkempen sebab menjadi calon, saya ambil keputusan untuk hadir sebagai tanda sokongan.
“Jadi kepada Syed Saddiq, sahabat baik saya, walaupun anda menghadapi kes ini agak panjang sejak 2020, tetapi percayalah bahawa sokongan dan doa daripada rakyat Malaysia akan sentiasa mengiringi.
“Untuk Syed Saddiq, walaupun nama anda SS, tetapi percayalah anda tidak ‘sorang-sorang’ dalam perjuangan ini.
“Saya akan pastikan bahawa esok saya akan hadir dan pemimpin MUDA yang lain juga akan hadir bersama rakyat Malaysia. Jumpa di Mahkamah Persekutuan pada jam 8.30 pagi esok,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada Selasa, Syed Saddiq akan mengetahui nasibnya sama ada kekal bebas atau diarahkan menjalani hukuman penjara atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah dijangka menyampaikan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq pada jam 9 pagi.



