Cameroon singkir Comoros: Enam terbunuh dalam rempuhan di luar stadium

Cameroon singkir Comoros: Enam terbunuh dalam rempuhan di luar stadium

YAOUNDE, Cameroon: Enam orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam insiden di luar Stadium Olembe, Yaounde sebelum bermula perlawanan Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) antara tuan rumah, Cameroon menentang Comoros, awal pagi tadi.

Menurut laporan stesen televisyen negara itu, rempuhan berlaku ketika orang ramai ingin mendapatkan akses memasuki Stadium Olembe untuk menyaksikan perlawanan pusingan 16 akhir tersebut.

Pegawai kejohanan menganggarkan 50,000 cuba menonton perlawanan itu meskipun stadium yang mempunyai 60,000 tempat duduk itu hanya beroperasi 80 peratus kerana kekangan pandemik Covid-19.

Hospital Messassi yang terletak berhampiran stadium menerima lebih 40 pesakit yang mengalami kecederaan akibat rempuhan tersebut.

“Rempuhan di pintu masuk ke Stadium Olembe menyebabkan setengah dozen maut dan berpuluh-puluh lagi cedera,” menurut CRTV.

Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) yang merupakan penganjur Afcon berkata, mereka sudah dimaklumkan mengenai insiden tersebut.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam talian, CAF berkata, mereka sedang “menyiasat situasi dan cuba mendapatkan butiran lanjut tentang apa yang berlaku.”

Persekutuan itu telah menghantar Setiausaha Agung,Veron Mosengo-Omba untuk melawat penyokong di hospital di Yaounde dan sentiasa berkomunikasi dengan kerajaan Cameroon serta Jawatankuasa Penganjur Tempatan.

Beberapa minit selepas wisel penamat perlawanan Cameroon menentang Comoros tiada kesan rempuhan di sekitar stadium, kata seorang wartawan AFP.

Cameroon menumpaskan Comoros 2-1 untuk melangkah ke suku akhir. – AGENSI

Scroll to Top