Cari rezeki di sempadan Melaka–Negeri Sembilan, isu sempadan jadi keluhan nelayan Kuala Linggi

Cari rezeki di sempadan Melaka–Negeri Sembilan, isu sempadan jadi keluhan nelayan Kuala Linggi

Sejauh mana nelayan Kuala Linggi boleh menangkap ikan apabila bot mereka memasuki perairan Negeri Sembilan? Isu sempadan itu antara perkara yang sering dibangkitkan nelayan setempat, menurut calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah.

Mukhlis berkata beliau yakin isu sempadan itu boleh diusahakan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Menurutnya, kerjasama antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan boleh memudahkan usaha mencari penyelesaian.

“Yang penting adalah hala tuju dan titik akhirnya adalah menyelesaikan masalah. Jadi kalau tanya adakah mustahil atau tidak, saya kata tak ada benda yang mustahil.
“Banyak isu nelayan hari ini berkaitan dengan sempadan, berkaitan dengan mendapan, jeti, pampasan daripada pembangunan yang sedia ada dan perkara itu boleh untuk kita usahakan untuk mendapatkan manfaat kepada warga nelayan di Kuala Linggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Dialog Santai Bersama Persatuan Nelayan Kuala Linggi di Pondok Nelayan Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Linggi pada 7 November. Turut hadir ialah Pengerusi LKIM, Faiz Fadzil.

Bagi nelayan Kuala Linggi yang bergantung pada hasil tangkapan untuk menyara keluarga, had kawasan menangkap ikan menentukan sejauh mana mereka boleh mencari rezeki di laut.

Sempadan maritim Melaka dan Negeri Sembilan bermula di muara Sungai Linggi dan memanjang kira-kira 7.05 kilometer hingga ke had perairan wilayah negeri.

Di bawah Akta Perikanan 1985, nelayan boleh dikenakan tindakan jika menangkap ikan di luar kawasan yang dibenarkan oleh lesen bot mereka. Pegawai berkuasa boleh membuat tangkapan jika mempunyai sebab untuk mempercayai kesalahan di bawah akta itu telah dilakukan. Dalam isu ini, risiko tindakan bergantung pada aktiviti penangkapan ikan dan syarat lesen yang terpakai.

Selain isu sempadan, Mukhlis berkata nelayan turut membangkitkan masalah mendapan, keadaan jeti yang usang dan pampasan berkaitan pembangunan.

Nelayan setempat mahu muara didalamkan kerana laluan cetek menyukarkan bot keluar masuk ketika air surut. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa kerja tambakan bagi projek pelabuhan berhampiran menyebabkan mendapan di sekitar jeti, sekali gus mengehadkan penggunaannya.

 

Scroll to Top