am@hmetro.com.my
Pelabuhan Klang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas pelbagai komoditi dianggarkan bernilai RM10.01 juta dalam beberapa pemeriksaan serta sitaan di zon bebas dekat sini antara 1 Ogos hingga 29 September lalu.
Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata komoditi berkenaan adalah cerut, panel paparan Diod Pemancar Cahaya (LED), beras dan e-rokok (vape).
Beliau berkata, kes pertama membabitkan sitaan sebuah kontena di Zon Bebas Pelabuhan Barat yang mengandungi 8,750 kilogram cerut yang dipercayai tidak mempunyai permit import pada 1 Ogos lalu.
“Siasatan awal mendapati kontena tersebut tiba di Pelabuhan Klang pada 18 Julai lalu dari sebuah negara di benua Asia.
“Dianggarkan, nilai duti dan cukai untuk rampasan cerut ini bernilai RM6.06 juta (RM6,063,750) dan ia diikrarkan sebagai ‘Beverages & Etc’ bagi mengelak keperluan permit import,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Selangor, Pulau Indah, hari ini.
Beliau berkata, sitaan seterusnya membabitkan 480 unit paparan panel LED yang dianggarkan bernilai RM2.52 juta (RM2,520,000) dengan duti dan cukai.
Katanya, kesemua komoditi terbabit dirampas menerusi pemeriksaan terhadap dua kontena di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara pada 5 Ogos lalu yang diikrar sebagai ‘display panel, hand tools & hardware accessories’.
“Kes seterusnya membabitkan sitaan 19,000 kilogram beras yang dianggarkan bernilai RM106,400 termasuk duti dan cukai menerusi pemeriksaan sebuah kontena di Zon Bebas Pelabuhan Barat, pada 28 Ogos lalu,” katanya.
Mohamad Azhar berkata, pada 9 September lalu, JKDM Selangor memeriksa sebuah kontena di Zon Bebas Pelabuhan Barat dan menyita 30,000 unit e-rokok yang dipercayai diimport tanpa permit.
Katanya, setiap unit e-rokok mengandungi 30 mililiter cecair nikotin, menjadikan jumlah keseluruhan cecair nikotin adalah sebanyak 900,000 mililiter.
“E-rokok berkenaan diikrar sebagai ‘storage box’ dan dianggarkan bernilai rampasan bagi komoditi tersebut adalah bernilai RM1.32 juta (RM1,320,000),” katanya.
Beliau berkata, pengimportan kesemua barangan berkenaan tertakluk kepada Permit Import yang digariskan mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Katanya, pengimportan cerut tertakluk pada permit yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kastam; Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi panel paparan LED; Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) bagi beras dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi e-rokok.
“Semua kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




