Cheng Hoe enggan tuding jari

Cheng Hoe enggan tuding jari

zulfaizan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Selepas kecundang 2-1 di tangan Vietnam dalam aksi ketujuh kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe kini mengalihkan fokus untuk perlawanan terakhir Kumpulan G berdepan Thailand di Dubai, Rabu ini.

Bekas pengendali Kedah itu juga enggan menyalahkan mana-mana pemainnya susulan kekalahan kepada Vietnam, sekali gus menutup peluang untuk skuad Harimau Malaya melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dan merebut slot automatik ke Piala Asia.

Sebaliknya, beliau menganggap pemainnya sudah mempamerkan aksi terbaik, namun tidak bernasib baik apabila dibolosi dengan gol dari ‘set-piece’ dan sepakan penalti.

“Bola sepak adalah kerja berpasukan, saya tidak menyalahkan satu atau dua pemain kerana kami kalah perlawanan ini. Kami perlu tingkatkan persembahan dan mengekalkan kerjasama berpasukan.

“Pemain saya beraksi dengan baik dan kita perlu fokus kepada aksi berdepan Thailand. Ia juga bukan perlawanan yang mudah kerana mereka mempunyai rehat yang lebih baik dari kami.

“Sebagai jurulatih saya perlu melakukan persiapan dan pemulihan untuk pemain bersedia dengan aksi seterusnya berdepan Thailand,” katanya selepas perlawanan di Stadium Al Maktoum, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu.

Dalam perlawanan berkenaan, Vietnam lebih dulu didepan menerusi jaringan Nguyen Tien Linh pada minit ke-27, sebelum disamakan penyerang naturalisi, Guilherme de Paula pada minit ke-72 menerusi sepakan penalti selepas dia dijatuhkan dalam kotak penalti.

Jaringan kemenangan skuad Naga Emas diperoleh menerusi Que Ngoc Hai hasil sepakan penalti pada minit ke-82 selepas Brendan Gan mengasari Nguyen Van Toan.

Walaupun terlepas slot automatik, namun skuad Harimau Malaya masih lagi berpeluang untuk melangkah ke pusingan seterusnya dalam kelayakan Piala Asia 2023.

Selain itu, Cheng Hoe menjelaskan beliau tidak boleh mengubah keputusan pengadil ketika ditanya mengenai penalti yang diberikan kepada Vietnam pada minit ke-82.

“Saya tidak melihat insiden itu kerana ia berlaku dengan pantas. Sudah pasti keputusan dari pengadil saya tidak boleh ubah. Jadi kami hanya berharap mendapat peluang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Ini adalah kekalahan kedua berturut-turut skuad Harimau Malaysia dalam kempen kelayakan itu, selepas diaibkan 0-4 UAE minggu lalu. Satu lagi aksi Kumpulan G menyaksikan UAE membelasah Indonesia 5-0.

Keputusan itu menyaksikan Vietnam mengekalkan rekod tanpa kalah sekali gus unggul berada di tangga teratas Kumpulan G dengan 17 mata selepas tujuh aksi diikuti, UAE (15 mata) manakala Thailand dan Malaysia masing-masing sembilan dan Indonesia (1).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top