Cheng Hoe 'sayang' De Paula

Cheng Hoe 'sayang' De Paula

zulfaizan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak menyalahkan Guilherme De Paula atas kekalahan 0-4 Harimau Malaya di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, awal pagi tadi.

Ia susulan De Paula dan seorang lagi pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi dikecam hebat peminat bola sepak tempatan selepas dianggap gagal memberikan persembahan terbaik.

Cheng Hoe bagaimanapun menganggap kebanyakan pemain Harimau Malaya tidak memberikan aksi pada tahap terbaik, sekali gus tewas dengan jaringan yang besar.

“Barisan jurulatih sedang berbincang dan sedang mencari formula terbaik untuk memilih pemain yang akan diturunkan berdepan Vietnam.

“Saya rasa secara keseluruhan kita tidak boleh seratus peratus salahkan satu atau dua pemain sahaja kerana kita tahu rata-rata pemain tidak berada pada tahap terbaik,” katanya ketika ditanya apa kelebihan yang ada pada De Paula sekiranya pemain itu terus dikekalkan dalam aksi akan datang.

Kebanyakan netizen menganggap De Paula sebagai ‘pemalas’ di atas padang selepas dia dilihat kurang bergerak dan lebih banyak menunggu bola.

Selain itu, Cheng Hoe turut mempertahankan keputusan mengekalkan pemain kelahiran Brazil itu hingga minit akhir perlawanan kerana menganggap Harimau Malaya masih berpeluang menjaringkan gol.

“Kita percaya dari segi fizikal dimilikinya dan tahu dia mempunyai penyudah yang baik. Sebab itu kita tetap positif, kerana ketinggalan 1-0 dan yakin mampu dapat gol penyamaan.

“Pujian harus diberikan kepada pertahanan kerana berjaya bertahan dengan baik sehingga minit ke-80 sebelum dibolosi tiga gol lagi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top