
Cheong Min (tengah) merangkul pingat emas dalam acara kombinasi nanquan dan nandao wanita pada temasya Sukan Tempur Dunia 2023 di King Saud University di Riyadh, Arab Saudi, pada Ahad.
RATU wusyu sensasi negara Tan Cheong Min merangkul pingat emas dalam acara kombinasi nanquan dan nandao wanita pada temasya Sukan Tempur Dunia 2023 di King Saud University di Riyadh, Arab Saudi, pada Ahad.
Juara dunia 2019 yang meraih pingat perak dalam acara tersebut pada Sukan Asia Hangzhou 2022 baru-baru ini, mengungguli saingan selepas mengumpul keseluruhan 19.486 mata.
Pingat perak menjadi milik atlet Uzbekistan Darya Latisheva dengan meraih 19.292 mata sementara gangsa menjadi milik atlet Iran Hanieh Rajabi selepas mengumpul 18.950 mata.
“Kali ini saya mampu meraih pingat emas, kejohanan ini juga sebagai platform dan persiapan bagi menghadapi Kejohanan Dunia (di Texas, Amerika Syarikat pada November),” kata Cheong Min menerusi klip video yang dikongsikan kepada media.



