China benarkan Filipina hantar bekalan di kawasan dipertikaikan

China benarkan Filipina hantar bekalan di kawasan dipertikaikan

BEIJING: Pengawal pantai China memaklumkan pihaknya membuat `pengaturan sementara’ untuk membenarkan Filipina menghantar bekalan kepada tenteranya di kapal era Perang Dunia Kedua yang berlabuh di  terumbu di Kepulauan Spratly yang dipertikaikan.

Sebelum ini, pengawal pantai China mengerahkan kapal untuk menghalang misi Filipina menghantar bekalan kepada tentera di kapal pengangkut, yang menjadi pos tentera di Second Thomas Shoal, kira-kira 190 kilometer (km) dari pulau Palawan.   

Pengawal pantai China menerusi kenyataan menyatakan pihaknya membenarkan penghantaran bekalan yang diperlukan.

Bagaimanapun, pengawal pantai China menegaskan akan mempertahankan kedaulatan, hak maritim dan kepentingan republik itu di Second Thomas Shoal serta perairan berhampiran.

“Pada 21 Januari lalu, sebuah pesawat kecil dari Filipina menggugurkan bekalan ke kapal perang yang disekat itu.

“Pengawal pantai China memantau situasi dalam masa nyata, mengawal dan menanganinya mengikut undang-undang dan peraturan.

“Kami juga membuat pengaturan sementara untuk Filipina menambah bekalan harian yang diperlukan,” jelas kenyataan yang disiarkan di aplikasi WeChat.

Beijing menuntut kedaulatan hampir keseluruhan Laut China Selatan.

Malah, republik itu mengeluarkan peta menunjukkan garisan membabitkan kawasan zon ekonomi eksklusif (EEZ) Vietnam, Filipina, Malaysia, Brunei dan Indonesia.

China berulang kali menggesa Filipina mengalihkan kapal itu berdasarkan janji yang didakwa dilakukan oleh Manila.

Namun, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. menafikan dakwaan tersebut.

Tambah kenyataan itu, pihak berkaitan di Filipina sengaja mengelirukan pandangan antarabangsa dan mengabaikan fakta serta itu tidak kondusif untuk meredakan ketegangan di Laut China Selatan. – REUTERS