Barcelona: Pemain pertahanan Barcelona, Andreas Christensen mungkin terpaksa diketepikan beberapa bulan akibat kecederaan ligamen lutut yang dialami ketika sesi latihan pada Sabtu lalu, kata juara LaLiga itu dalam satu kenyataan hari ini.
Pertahanan tengah Denmark tersebut sebelum ini mengalami masalah betis pada Oktober lalu sehingga menyebabkannya berehat selama dua minggu.
“Selepas ujian dijalankan ke atas pemain, rawatan secara konservatif dipilih. Tempoh pemulihan pemain bergantung kepada perkembangan keadaannya,” tambah kelab itu.
Pemain berusia 29 tahun itu tersenarai dalam barisan kesebelasan dalam setiap perlawanan bersama Denmark pada kempen kelayakan Piala Dunia tahun ini, menjaringkan satu gol dan mencipta dua bantuan jaringan ketika mereka menamatkan saingan di tempat kedua kumpulan untuk mara ke peringkat play-off benua.
Denmark dijadual menentang Macedonia Utara pada 26 Mac dalam perlawanan play-off dengan kemenangan akan membawa mereka ke perlawanan akhir menentang Republik Czech atau Ireland bagi merebut tempat ke Piala Dunia pada Jun nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




