Christian Horner teguh bersama Red Bull, tolak spekulasi sertai Ferrari

Christian Horner teguh bersama Red Bull, tolak spekulasi sertai Ferrari

Barcelona: Pengarah pasukan Red Bull, Christian Horner menafikan sebarang khabar angin mengenai kemungkinan beliau menyertai Ferrari, menegaskan komitmennya 100 peratus bersama Red Bull dalam jangka masa panjang.

Spekulasi ini timbul selepas laporan akhbar Jerman, Bild, mendakwa Ferrari sedang mempertimbangkan Horner sebagai pengganti Fred Vasseur.

“Sudah tentu, ia satu penghargaan apabila dikaitkan dengan pasukan lain. Tetapi komitmen saya 100 peratus adalah bersama Red Bull, dan ia akan kekal begitu dalam jangka panjang,” kata Horner.

Horner mengetuai Red Bull sejak mereka menyertai sukan permotoran pada 2005 dan memenangi lapan kejuaraan pelumba bersama Sebastian Vettel dan Max Verstappen serta enam kejuaraan pengeluar.

Beliau juga adalah ketua pasukan yang paling lama berkhidmat dalam kalangan 10 ketua pasukan semasa.

Walaupun pernah terpalit kontroversi, termasuk siasatan terhadap dakwaan tingkah laku tidak wajar terhadap seorang pekerja wanita yang akhirnya didapati tidak bersalah, Horner terus menjadi tonggak penting pasukan.

Red Bull baru-baru ini kehilangan pereka utama Adrian Newey yang menyertai Aston Martin manakala bekas pengarah sukan Jonathan Wheatley kini menjadi ketua pasukan Sauber. Masa depan Max Verstappen juga menjadi bualan hangat walaupun beliau mempunyai kontrak hingga 2028.

Sementara itu, Ferrari yang kini dibarisi juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton, masih belum memenangi sebarang perlumbaan musim ini dan berada di kedudukan keempat keseluruhan selepas lapan perlumbaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top