Kuala Lumpur: Wakil Malaysia Taanusiya Chetty mengulangi pencapaian negara 28 tahun lepas apabila meraih tempat ketiga pada pertandingan akhir Miss World 2026 yang berlangsung di Nha Trang, Vietnam malam ini.
Juara milik Joheirry Mola Dominguez dari Republik Dominika manakala di tempat kedua Elisabeth Reynes Alabern dari Sepanyol.
Taanusiya, 26, merangkul gelaran utama itu selepas mempamerkan persembahan memukau dan konsisten sepanjang pertandingan yang berlangsung hampir sebulan sekali gus mengetepikan cabaran 110 peserta lain dari seluruh dunia.
Kejayaan tersebut menyamai rekod Lina Teoh yang turut meraih tempat ketiga pada Miss World 1998 sekali gus menjadikan kedua-dua wakil Malaysia itu antara peserta negara dengan pencapaian terbaik dalam sejarah pertandingan berkenaan.
Selain Lina, rekod cemerlang wakil negara sebelum ini turut dicatat oleh Rahimah Orchient Yayah yang mara ke kelompok 10 terbaik pada 1994 manakala Deborah Henry berjaya menempatkan diri dalam kelompok 16 terbaik pada 2007.
Taanusiya, yang mesra disapa Taanu, melayakkan diri ke kelompok enam terbaik selepas memenangi segmen Beauty With A Purpose (BWAP) dengan mengetepikan wakil Zimbabwe Brunette Makanyiso.
BWAP adalah antara pengiktirafan utama Miss World berdasarkan komitmen dan impak projek kemasyarakatan yang dilakukan oleh peserta.
Ketika segmen gaun malam pula, Miss World Malaysia 2024/2025 itu tampil anggun dalam persalinan merah jambu yang diilhamkan oleh pereka fesyen Vietnam Minh Tuan Couture.
Sepanjang pertandingan, Taanusiya mencuri perhatian menerusi keyakinan, keperibadian dan aksi memukau dalam beberapa segmen yang dipertandingkan sebelum berjaya meraih kedudukan di podium.
Beliau turut mencuri tumpuan ramai selepas videonya berucap dalam empat bahasa, iaitu Inggeris, Melayu, Mandarin dan Tamil ketika Head-to-Head Challenge Miss World 2026 pada 23 Ogos lepas.
Kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa malah mengangkat Taanusiya sebagai antara figura baharu dengan aura memukau dalam dunia ratu cantik global.
© New Straits Times Press (M) Bhd
