Kebakaran 400 hektar hutan ancam Nusantara

JAKARTA: Kebakaran hutan yang merebak ke kawasan sekitar Nusantara dijangka memburukkan lagi jerebu di Asia Tenggara, ketika Indonesia mempergiat operasi pengeboman air dan pembenihan awan.

Indonesia kini meningkatkan usaha membendung kebakaran dan jerebu di enam wilayah paling teruk terjejas di Borneo dan Sumatera, yang setakat ini meliputi kawasan seluas 73,311 hektar.

Kebakaran berlaku di beberapa lokasi di Pulau Borneo sejak bermulanya musim kemarau pada Julai, namun kawasan timur yang menempatkan Nusantara sebelum ini agak terhindar daripada keadaan berkenaan.

Bagaimanapun, kebakaran kini merebak ke beberapa kawasan sekitar ibu negara baharu itu, sekali gus mendorong pihak berkuasa mengambil langkah segera bagi mengawal keadaan.

Pengarah Tindak Balas Kecemasan Agensi Mitigasi Bencana, Agus Riyanto, berkata kebakaran terbesar di kawasan Nusantara berlaku di Taman Hutan Bukit Suharto, kira-kira 50 kilometer dari pusat bandar itu.

Katanya, kira-kira 300 hektar kawasan hutan di taman berkenaan terjejas, manakala jumlah kawasan terbakar di sekitar Nusantara mencecah kira-kira 400 hektar setakat 2 September.

Pasukan tindak balas dan mitigasi bencana kini berdepan musim kemarau paling mencabar dalam tempoh sedekad, yang turut diburukkan fenomena El Nino.

Pihak berkuasa berkata, sebanyak 53 pesawat kini digunakan bagi menjalankan operasi pengeboman air dan pembenihan awan bagi membantu memadam kebakaran serta menghasilkan hujan.

Jepun turut menghantar pesawat dan anggota bagi membantu Indonesia menangani kebakaran serta jerebu yang semakin memburuk.

Nusantara, yang terletak di Pulau Borneo, dibangunkan sebagai ibu negara baharu bagi menggantikan Jakarta yang berdepan masalah kesesakan kronik, banjir dan penurunan tanah.

Bekas Presiden Joko Widodo pada 2019 mengumumkan projek bernilai AS$32 bilion (RM40 bilion) itu, namun pembangunannya mengalami kelewatan serta pengurangan peruntukan sejak Presiden Prabowo Subianto mengambil alih pada 2024.

Pakar perancangan bandar, Wisnubroto Sarosa, berkata Nusantara bukan lokasi ideal untuk ibu negara baharu kerana dikelilingi hutan dan mempunyai bekalan air yang terhad.

Bagaimanapun, katanya, risiko kebakaran di kawasan itu masih lebih rendah berbanding wilayah barat dan tengah Borneo yang turut dikongsi Indonesia dengan Malaysia dan Brunei.- AGENSI

 

Scroll to Top