Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengesahkan bahawa tiada aktiviti pembinaan dilakukan pada 1 April, hari kejadian letupan saluran gas di Putra Heights.
Menurut laporan Harian Metro, pasukan Penguatkuasaan CIDB Selangor yang diketuai pengarahnya, Heryanti Hilmi telah berada di lokasi pada 2 April untuk mendapatkan maklumat daripada agensi dan kontraktor terlibat.
Siasatan mendapati tapak pembinaan 10 unit kedai pejabat dua tingkat yang dikaitkan oleh netizen sebenarnya terletak 30 meter dari lokasi letupan.
Kerja pembinaan terakhir dilakukan pada 30 Mac

Berdasarkan laporan kontraktor, kerja pembentungan terakhir dilakukan pada 30 Mac 2025, manakala kerja pembersihan (housekeeping) dibuat pada 31 Mac 2025.
Tiada sebarang aktiviti pembinaan berlaku pada 1 April 2025, ketika letupan gas berlaku.
Tambahnya, pada pagi kejadian, Penolong Pengurus Projek menerima panggilan kecemasan daripada jurutera projek yang memaklumkan insiden letupan dan kebakaran berdekatan tapak binaan itu pada jam 8:32 pagi.
Dua individu cedera dalam kejadian paip gas meletup

Ketika kejadian, seorang pengawal keselamatan tempatan dan seorang pekerja asing berada di tapak projek. Kedua-duanya mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Buat masa ini, CIDB masih menjalankan siasatan dan sedang menunggu dokumen sokongan lain bagi mendapatkan klasifikasi insiden di bawah skop pematuhan Akta 520.
#ApaKataOhmedia
Kejadian ini menunjukkan betapa pentingnya siasatan rasmi sebelum membuat sebarang spekulasi. Penduduk dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang belum sahih, sebaliknya menunggu kenyataan daripada pihak berkuasa bagi mengelakkan kekeliruan dan panik.





