Cik Man murah rezeki

Cik Man murah rezeki

mohamadridzuan@hmetro.com.my

TAHUN 1986 menyaksikan pelakon, Kamarool Haji Yusoff, 67, melakukan kemunculan sulung membawa watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja yang menampilkan Faizal Hussein sebagai hero.

Panggilan Farouk yang dahulunya sinonim dalam kalangan peminat era 1980-an kini sudah bertukar kepada Cik Man, nama wataknya dalam filem Rock Oo arahan Allahyarham Mamat Khalid.

“Aura Cik Man sangat kuat dan sampai sekarang orang masih ajuk gaya Cik Man. Sebagai pelakon saya rasa seronok kerana saya yang keluarkan identiti itu.

“Dalam lakonan kena ada benda-benda begitu. Dari situ bolehlah kita cari makan. Syukur dengan apa yang ada dan saya masih diterima sehingga sekarang.

“Pemergian Mamat satu kehilangan besar. Tapi kita ada pengganti iaitu anaknya, Amen Khalid yang arahkan filem Hantu Lompat. Saya turut berlakon dalam filem itu,” katanya.

Menyentuh mengenai watak, Kamarool berkata, dia kerap diberi watak seakan-akan Cik Man yang sudah sinonim dengannya.

“Saya tak ubah watak, tapi naskhah mengubah watak saya. Saya letih juga. Kadang-kadang Cik Man kena ada benda baru.

“Benda baru itu kena disokong oleh benda yang baru. Kalau macam ini baru saya keluarkan kelainan yang ada. Penonton di Malaysia suka watak kita tiga, empat tahun baru hilang.

“Selepas itu ia muncul balik bermusim. Rakyat Malaysia suka bermusim. Saya teringin watak yang mendalam contohnya seorang bapa yang alami konflik tapi skrip tiada,” katanya.

Kamarool berkata, dia kini baru menyelesaikan filem arahan Aziz M Osman iaitu 6 Jilake terbitan Eartistic Entertainment dan Grand Brilliance Studio.

“Ia filem yang sangat ‘rare’ dan membariskan pelakon hebat lain. Saya seronok berlakon filem. Kita tunggu tayangannya nanti.

“Sebuah filem yang harus ditonton rakyat Malaysia. Dia ada benda. Saya juga baru selesai menjayakan drama pendek Hari Raya Suria FM berjudul Hayati,” katanya.

Bercerita mengenai keluarga, besar pengorbanan dilakukan Kamarool dalam mencari rezeki untuk mereka. Jarak antara Kelantan dan Kuala Lumpur sudah biasa baginya.

“Saya tinggal di Kelantan. Dalam empat, lima hari kemudian datang Kuala Lumpur. Selepas itu balik semula ke Kelantan dan dua, tiga hari selepas itu ke lokasi lain pula untuk penggambaran.

“Saya tak banyak masa terluang. Jadual penggambaran tak pernah terhenti. Alhamdulillah bakat saya masih dihargai penerbit dan peminat.

“Sekarang saya juga terbabit dengan satu produk minyak wangi di Kelantan. Itulah yang dikatakan rezeki. Saya sangat berbesar hati apabila ada pihak nak bekerjasama,” katanya.

Baginya, ia tanda mereka hargai bakat yang ada pada saya.

“Saya duta produk ini dan mereka kini keluarkan album Ara Johari. Saya baru selesai menjalani penggambaran muzik video dengannya di Kuala Pilah, baru-baru ini.

“Boleh dikatakan rezeki saya merata-rata, di sini sikit, di sana sikit. Maknanya lama-lama jadi bukit. Ada rezeki saya daripada Allah. Saya tak ada had nak berlakon.

“Selagi tubuh saya sihat selagi itu saya teruskan. Saya tiada penyakit serius. Darah tinggi, kencing manis dan pening kepala biasalah orang tua,” katanya.

Katanya, dalam setiap apapun perbuatan, dia sentiasa ingat pada Allah yang memberi kekuatan dalam hidupnya.

“Insya-Allah, dengan cara ini kita tak sakit. Jangan serabut, jangan dengki orang dan buat hal kita. Itu saja amalan saya untuk kekal tenang,” katanya.

Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri, baru-baru ini, Kamarool meraikannya bersama keluarga, menantu dan adik-beradik di Tanah Merah, Kelantan.

Dia kemudian menyambung penggambaran di Sauk, Kuala Kangsar. “Boleh dikatakan masa dengan keluarga hanya 10 hari sebulan. Biasalah kena berkorban. Janji” ‘masyuk’,” katanya bergurau.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top