Bukan kaleng-kaleng! Filem Belaban Hidup: Infeksi Zombie memenangi anugerah Filem Feature Terbaik di Karnival Filem Dunia Singapura. Wow, padu betul.
Filem Iban ini mengetengahkan jalan cerita yang mengisahkan sekumpulan anak yatim dikurung untuk dijadikan bahan uji kaji oleh seorang saintis gila.
Lebih istimewa, filem yang mendapat dana dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu menggabungkan elemen seram dan aksi masyarakat Dayak di Sarawak.
Menurut penerbit dan pengarahnya Ray Lee, 45, berkata idea untuk membuat filem itu bermula sejak 2016 melalui kolaborasi dengan penulis skrip Misha Minut yang juga penerbit bersama berasal dari Limbang, Sarawak.
“Asalnya, ia adalah cerita pendek tetapi diubah menjadi sebuah filem. Kita tahu, tidak banyak cerita Dayak yang ditayangkan di pawagam. Jadi, terniat di hati saya menerbitkan sebuah yang mengetengahkan kisah pahlawan Dayak Sarawak,” jelasnya.
Bukan itu jer, apa yang lebih menarik, filem itu juga turut diwarnai dengan gabungan bahasa Iban dan bahasa Melayu selain babak pertempuran.
“Uniknya filem ini kerana ia menerapkan unsur-unsur budaya dan adat orang Dayak selain perlu menggunakan bahasa Iban dalam beberapa dialog,” katanya.
Selain itu, Ray berkata filem berkenaan turut tercalon di International Symbolic Art Film Festival di Rusia dalam dua kategori iaitu Filem Terbaik dan Filem Seram Terbaik yang akan berlangsung pada 27 Mac ini.
“Kami juga menanti penuh debaran sama ada bolos untuk penyertaan dan pencalonan dalam filem festival di Amerika Syarikat, United Kingdom, India, New Zealand, Australia, Jepun dan Paris dalam beberapa bulan ini,” katanya.
Belaban Hidup: Infeksi Zombie menampilkan barisan pelakon tempatan seperti Pekin Ibrahim, Altimet, Pablo Amirul, Anna Melissa, Cassidy Panggau dan penyanyi Indonesia, Tegar serta pelakon kelahiran Slovakia, Katrina Grey.
Filem yang diedarkan Metrowealth Pictures Sdn Bhd itu dijangka ditayangkan di pawagam tempatan menjelang akhir tahun ini.
Kredit: Bernama