Lelaki tanpa identiti ditemukan maut dipercayai dilanggar lari

Bagan Serai: Seorang lelaki ditemukan maut selepas dipercayai dilanggar lari sebuah kenderaan dalam kejadian di Jalan Kuala Gula, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mazuki Mat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat mangsa di tepi jalan berkenaan pada 6.45 pagi.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang berjalan dilanggar kenderaan yang datang dari arah Kuala Kurau menghala ke Kuala Gula sebelum suspek melarikan diri.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di kaki kanan dan kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

“Tiada sebarang identiti ditemukan pada mangsa dan polis menggesa orang awam yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga tampil membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mereka yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian 05-7215222 atau pengawai penyiasat Inspektor D. Nitia Ruban di talian 0164898618.