City berisiko kehilangan tempat Liga Juara-Juara

City berisiko kehilangan tempat Liga Juara-Juara

London: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengatakan bahawa kelab itu berisiko kehilangan tempat dalam Liga Juara-Juara musim depan

City kini berada dalam musim ke-14 berturut-turut dalam pertandingan kelab bola sepak Eropah paling berprestij itu.

Hanya Arsenal antara 1998 dan 2017, dan Manchester United antara 1996 dan 2014, yang mempunyai rekod lebih lama dalam kalangan kelab Inggeris.

City berada di tempat ketujuh dalam Liga Perdana selepas 17 perlawanan, empat mata di belakang Nottingham Forest di tangga keempat dan satu mata di belakang Bournemouth kedudukan kelima.

“Apabila saya katakan sebelum ini, orang ketawa.

“Mereka berkata, ‘melayakkan diri ke Liga Juara-Juara bukanlah satu kejayaan besar’.

“Tetapi saya tahu kerana ia berlaku dalam kelab di negara ini. Mereka mendominasi selama bertahun-tahun dan selepas itu mereka tidak layak ke Liga Juara-Juara selama bertahun-tahun,” kata Guardiola.

Pasukan Guardiola menerima kunjungan Everton pada Boxing Day, sebelum lawatan ke Leicester pada 29 Disember dan perlawanan di tempat sendiri menentang West Ham pada 4 Januari.

Memandangkan ketiga-tiga lawan berada dalam kelompok tujuh pasukan tercorot, ia memberikan peluang kepada City untuk memperbaiki rekod buruk mereka baru-baru ini dengan empat mata dari lapan perlawanan.

Perkara itu menimbulkan keraguan buat Guardiola terhadap peluang untuk layak ke Liga Juara-Juara.

“Satu pasukan yang berada dalam Liga Juara-Juara sejak beberapa tahun lalu ialah Manchester City.

“Sekarang kami berisiko, sudah tentu kami. Pasti,” katanya.

Arsenal, Chelsea, Liverpool dan Manchester United menamatkan saingan di empat teratas Liga Perdana Inggeris dari musim 2005-06 hingga 2008-09.

Sekurang-kurangnya tiga daripada mereka turut menduduki empat tempat teratas untuk 15 kempen berturut-turut sehingga 2012.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top