London: Juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City, diundi dalam Kumpulan G bersama Juventus, Wydad AC, dan Al Ain untuk aksi Piala Dunia Kelab Fifa tahun depan di Amerika Syarikat.
Lionel Messi dan Inter Miami dari Major League Soccer berada dalam Kumpulan A, akan menentang Al Ahly dalam perlawanan pembukaan kejohanan yang diperluas membabitkan 32 pasukan itu, sebelum bertemu Porto dan Palmeiras.
Kejohanan itu menampilkan pasukan terkemuka dari seluruh dunia, akan diadakan di 12 stadium di seluruh negara dari 15 Jun hingga 13 Julai, dan bertujuan sebagai persediaan untuk Piala Dunia 2026 yang akan dianjurkan bersama oleh AS, Mexico, dan Kanada.
Manchester City yang memenangi Piala Kelab Dunia pada 2023 di bawah format lama, kini berada di kedudukan keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas terkesan dengan kecederaan pemain utama seperti pemain tengah Sepanyol dan pemenang Ballon d’Or, Rodri.
City, meraih gelaran liga utama Inggeris untuk kali keempat berturut-turut, akan bertemu Wydad AC dalam perlawanan pembukaan mereka dan Al Ain sebelum menutup peringkat kumpulan menentang Juventus.
Miami pula adalah pasukan kedua terakhir yang layak di kejohanan itu selepas memenangi “Supporters’ Shield” dan menduduki tempat teratas dalam kedudukan MLS, namun tewas dalam pusingan pertama play-off MLS bulan lalu.
Juara Eropah, Real Madrid akan menentang Al-Hilal, Pachuca dan Red Bull Salzburg dalam Kumpulan H manakala Bayern Munich diundi dalam Kumpulan C bersama Auckland City, Boca Juniors dan Benfica.
Juara Eropah tiga kali, Inter Milan, berada dalam Kumpulan E bersama River Plate, Urawa Red Diamonds, dan Monterrey, sementara Paris St Germain, yang tahun ini memenangi gelaran liga utama Perancis kali ketiga berturut-turut, berada dalam Kumpulan B bersama Atletico Madrid, Botafogo, dan Seattle Sounders.
Pasukan dari Brazil, Botafogo, hanya memastikan tempat terakhir dalam kejohanan itu minggu lalu selepas memenangi gelaran pertama Copa Libertadores mereka.
Chelsea akan memulakan perlawanan Kumpulan D menentang Leon sebelum bertemu Flamengo dan Esperance, manakala Kumpulan F terdiri daripada Fluminense, Borussia Dortmund, Ulsan HD, dan Mamelodi Sundowns.
Undian dijalankan oleh pemenang Piala Dunia Itali dan legenda Juventus, Alessandro Del Piero, turut disertakan dengan mesej rakaman dari Presiden AS, Donald Trump, yang memuji Presiden Fifa, Gianni Infantino.
© New Straits Times Press (M) Bhd




