City tetap gagah tanpa tonggak

City tetap gagah tanpa tonggak

London: Keputusan Pep Guardiola melanjutkan tempoh rehat beberapa tonggaknya selepas Euro 2024 ternyata tidak menjadi masalah apabila mereka masih mampu menewaskan Chelsea 2-0 di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

Kyle Walker, John Stones serta Phil Foden yang membantu England mara ke final Euro pada Julai direhatkan di bangku simpanan dan pemain Sepanyol Rodri turut tersisih akibat kecederaan dialami di Jerman.

Pertahanan kanan Rico Lewis dan pemain sayap Savinho cemerlang mengambil alih tugas manakala Mateo Kovacic mengesahkan kemenangan dengan gol kedua City minit ke-84 selepas Erling Haaland membuka tirai jaringan minit ke-18.

“Kami tidak menjangkakannya. Kami jauh daripada prestasi terbaik, jadi tiga mata di sini adalah berita baik. Bagi saya ia satu penghormatan mengendalikan pemain-pemain ini. Saya sangat bertuah, tiada kata tidak lebih daripada itu,” kata Guardiola.

Dia memuji Kovacic yang mengambil alih tugas Rodri yang ketiadaannya musim lalu menyaksikan City tewas tiga aksi liga.

“Ibu dan ayahnya memberikan kami manusia hebat, pemain bertaraf dunia,” tambah Guardiola lagi.

City memburu gelaran kelima berturut-turut Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun mereka berdepan risiko hukuman atas dakwaan pelanggaran peraturan perundangan yang dinafikan juara bertahan itu.

Tidak seperti City yang merehatkan bintang Euro mereka, Chelsea kendalian pengurus baharu Enzo Maresca, Chelsea menurunkan pemain Sepanyol Marc Cucurella dan tonggak England Cole Palmer yang kedua-duanya beraksi di final pada 14 Julai.

Namun The Blues gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri menyaksikan Palmer yang muncul penjaring terbanyak kelab musim lalu dengan 22 gol sukar menembusi pertahanan City manakala dua pemain baharu mereka Pedro Neto dan Marc Guiu masih tercari-cari keserasian dengan barisan sedia ada.

Maresca bagaimanapun tetap positif apabila berkata dia melihat kemajuan ditunjukkan anak buahnya. “Kami mampu bersaing dengan mereka hampir majoriti babak perlawanan,” kata pengendali dari Itali itu.

“Ada ketikanya kami lebih baik daripada mereka. Kami mencipta peluang dan saya fikir apa yang menjadi perbezaan hanya dalam kotak penalti. Begitu juga cara kami menguasi bola pada bahagian terakhir perlawanan.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top