Cliff bangkit semula selepas ‘hanyut’

Cliff bangkit semula selepas ‘hanyut’

KUALA LUMPUR – Penyanyi Cliff Umar mengaku nasibnya sekarang berpunca daripada kesalahan sendiri selepas terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Lantaran itu, Cliff atau nama sebenarnya, Abdullah Umar Joseph, 43, mahu memulakan kehidupan baharu selepas segala ujian yang berlaku.

“Permulaan baharu bagi kehidupan yang baharu. Macam-macam sedang terjadi dalam hidup saya.

“Seperti yang kalian tahu, perbicaraan saya sudah habis dan ya, saya didenda. Tidak dinafikan ini salah saya, tiada siapa paksa saya menggunakan dadah,” katanya dalam satu hantaran video di Instagram, semalam.

Juara Gegar Vaganza ketujuh itu didenda RM5,500 oleh Mahkamah  Majistret Shah Alam atas pertuduhan memiliki dan memberi dadah kepada dirinya sendiri pada Mei lalu.

Bekas penyanyi Project Pistol itu juga telah dikenakan tempoh pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Dalam satu lagi hantaran yang berbeza, Cliff menunjukkan dia telah memulakan pekerjaan baharu sebagai pemandu di syarikat e-hailing.

“Saya bersyukur kepada Tuhan atas segala perkara yang berlaku dalam hidup saya, dari beraksi di pentas nyanyian dan kini, akhirnya menjadi pemandu Gojek.

“Hanyut dari agama dan kehilangan cinta hati saya, Anita merupakan perkara yang telah menghancurkan hati saya seteruk-teruknya. Namun, saya akan terus bangkit untuk menjadi lebih kuat dan baik.

“Kehidupan saya kini lebih gembira dan bermakna dari sebelumnya,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top