Coco mara, Naomi cedera

Coco mara, Naomi cedera

Beijing: Pilihan keempat Coco Gauff dari Amerika Syarikat mara ke suku akhir Terbuka China selepas pemain Jepun Naomi Osaka menarik diri sebelum set ketiga akibat kecederaan belakang badan, malam semalam.

Naomi menang set pertama 6-3 dan mendahului 4-3 di set kedua sebelum tewas tiga permainan seterusnya dan menarik diri secara tiba-tiba.

“Saya minta maaf,” kata Coco kepada Naomi ketika kedua-duanya berpelukan di gelanggang. “Harap anda dapat kembali bermain.”

Coco yang memiliki rekod kemenangan 3-2 ke atas Naomi membantu mengangkat beg juara empat kali Grand Slam itu ke luar gelanggang.

“Saya tak pasti sama ada pangkal paha atau belakangnya dan saya hanya tahu selepas dia tidak dapat melakukan servis seperti biasa,” kata Coco.

Menurutnya lagi, dia terkejut perlawanan ditamatkan secara tiba-tiba. “Menuju penamat set kedua, saya dapat melihat pergerakannya agak terjejas,” kata Coco.

“Malah pada mata akhir, saya hanya cuba memastikan bola masuk kerana saya tahu apa yang berlaku tetapi saya tak sangka dia akan menarik diri ketika itu,” katanya lagi.

Coco akan berdepan pemain kelayakan dari Ukraine Yuliia Starodubtseva esok untuk memburu tempat ke separuh akhir. Yuliia menewaskan pilihan ke-10 Anna Kalinskaya dari Rusia 7-5, 6-0.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top