am@hmetro.com.my
Sepang: Beberapa jalan utama di daerah Sepang akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat sempena penganjuran acara berbasikal lebuh raya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor XXII 2026 esok sehingga 19 Ogos.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, acara berbasikal lebuh raya itu membabitkan seramai 142 peserta dan penutupan serta lencongan jalan akan dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dengan bantuan penguat kuasa Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).
Beliau berkata, sebanyak 96 kawasan dalam daerah Sepang akan diberi perhatian bagi penugasan kawalan lalu lintas sepanjang acara berlangsung.
“Penugasan berkenaan dibahagikan kepada empat zon iaitu Zon A di Jalan Pantai Sepang Putra hingga sempadan Tumbuk, Zon B di Jalan Dengkil-Jenderam Hulu, Zon C di Jalan Jenderam-Salak dan Zon D di Jalan Salak Sepang-Sungai Pelek.
“Kesemua jalan yang terlibat akan ditutup secara berperingkat dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norhizam berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang, penguat kuasa pihak berkuasa tempatan serta bantuan sumber manusia trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor akan ditempatkan di persimpangan jalan dan lampu isyarat.
Katanya, anggota turut membuat rondaan serta pemantauan sepanjang kawasan terlibat bagi memastikan keselamatan dan kelancaran lalu lintas.
Bagi 16, 17 dan 19 Ogos, jalan yang terlibat dengan penutupan secara berperingkat bermula dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari ialah Jalan Bukit Bangkong-Tanjung Rhu, Persiaran Pantai Sepang Putra, Jalan Kampung Bagan Lalang dan Jalan Tumbuk Sempadan.
Sementara itu, penutupan laluan pada 18 Ogos membabitkan 18 lokasi, antaranya Persiaran Pantai Sepang Putra, Jalan Kampung Bagan Lalang, Jalan Bukit Bangkong-Tanjung Rhu, Jalan Tumbuk Sempadan, Jalan Banting-Semenyih (hala Dengkil) serta lampu isyarat Pekan Dengkil.
Turut terbabit ialah lampu isyarat Simpang Empat Dengkil (hala Jenderam), Jalan Jenderam Hilir, Jalan Jenderam-Salak, Simpang Taman Mawar-BBST, Jalan Bandar Baru Salak Tinggi, Jalan Salak Tinggi (Medan 88), Jalan Kompleks Kerajaan Daerah Sepang dan Jalan Pekan Salak-Lembah Paya.
Lokasi lain ialah lampu isyarat Kuartes KLIA, Jalan Sepang Lama, Jalan Sungai Pelek dan Persiaran Pantai Sepang Putra.
Norhizam menasihatkan masyarakat sekitar dan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan lebih awal atau menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
