Budak 9 tahun rai ulang tahun di balai polis

New Delhi: Impian seorang kanak-kanak untuk menyambut ulang tahun kelahiran di balai polis menjadi kenyataan apabila hasratnya ditunaikan anggota polis dalam satu sambutan khas.

Memetik laporan NDTV, Ayush, 9, murid Tahun Lima dari Bunkar Colony di sini, memilih permintaan luar biasa itu sebagai cara untuk meraikan hari istimewanya.

Kanak-kanak itu dikatakan mempunyai perasaan ingin tahu terhadap balai polis, tempat yang sering mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan kanak-kanak mengenai apa yang berlaku di sebalik pintunya.

Perasaan ingin tahu itu mendorong Ayush mengemukakan permintaan supaya sambutan ulang tahun kelahirannya diadakan di balai polis.

Menghormati hasrat tulus berkenaan, warga Balai Polis Bharat Nagar menganjurkan sambutan ulang tahun kelahiran khas buat Ayush.

Menurut Polis Delhi, permintaan ringkas itu akhirnya menjadi detik istimewa yang pastinya sukar dilupakan oleh kanak-kanak berkenaan.

Dikelilingi anggota polis, Ayush meraikan hari bahagianya dengan penuh senyuman, kegembiraan dan keriangan.

Sambutan itu turut memperlihatkan sisi kepolisan yang lebih berperikemanusiaan, mesra kanak-kanak dan prihatin.

Pada masa sama, tindakan berkenaan membantu memperkukuh ikatan kepercayaan serta persahabatan antara kanak-kanak dengan anggota polis.

Bagi Ayush, balai polis bukan lagi sekadar tempat anggota menjalankan tugas pada hari itu sebaliknya menjadi lokasi yang menyimpan kenangan ulang tahun kelahiran istimewa untuk dihargainya pada masa akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top