Kuala Lumpur : Mengangkat tema dendam, pengkhianatan serta amalan ilmu hitam sebagai tunjang penceritaan, filem seram dari Thailand, Confessions of a Shaman membawa naratif mendalam bahawa manusia sebenarnya jauh lebih menakutkan berbanding makhluk ghaib.
Pengarahnya, Nathanon Cholumpi berkata, naskhah berdurasi 126 minit itu bukan sekadar pertarungan klise antara manusia dan hantu, sebaliknya menyelami sisi gelap emosi penderitaan yang mendorong seseorang memilih jalan kemusnahan.
“Pada saya, hantu dalam filem ini bukan watak jahat kerana kebanyakannya pernah menjadi mangsa ketidakadilan.
“Perkara benar-benar menakutkan ialah manusia yang sanggup menyakiti orang lain serta dendam yang mampu mengubah seseorang secara keseluruhannya,” katanya.
Filem yang mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula hari ini mengisahkan perjalanan Tor lakonan Alek Teeradetch Metavarayuth, seorang sami muda yang kehidupannya hancur selepas kehilangan ibu tercinta serta dizalimi individu berpengaruh.
Akibat gagal mendapat pembelaan undang-undang, Tor mengambil keputusan melepaskan jawatan sami lalu berguru dengan bomoh handal, Mor Tian (Shahkrit Yamnarm) untuk mempelajari amalan ilmu hitam hong phrai demi membalas dendam.
Bagi pemegang watak utama, Alek mengakui peranannya sebagai Tor adalah antara cabaran terbesar sepanjang kerjaya lakonannya kerana perlu menterjemahkan pergerakan emosi lelaki biasa yang akhirnya tenggelam dalam kegelapan.
“Tor pada asalnya tidak mengimpikan kekayaan atau kuasa, sebaliknya hanya mahukan kehidupan yang stabil dan kasih sayang. Namun rasa terhina dan ketidakadilan mengubah seluruh hidupnya,” jelasnya.
Diadaptasi daripada kisah seram fenomena The Ghost Radio yang mencatatkan lebih lapan juta tontonan, filem ini turut menampilkan barisan pelakon popular seperti Denise Jelilcha Kapaun, Am Amarin Nitibhon, Boom Ranya Siyanont, serta kemunculan khas bintang K-pop terkenal, BamBam daripada kumpulan GOT7.
© New Straits Times Press (M) Bhd




