puterialia@hmetro.com.my
Selepas mengukir momentum kukuh di pelbagai festival filem antarabangsa, naskhah fantasi suspens, The Mage menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia, baru-baru ini.
Naskhah itu menandakan kembalinya duo pengarah tersohor Hong Kong yang dikenali menerusi francais seram ikonik The Eye iaitu Danny Pang dan Oxide Pang (Pang Brothers) selepas lebih sedekad membawa haluan masing-masing.
The Mage menampilkan barisan pelakon hebat seperti Josie Ho, Carlos Chan dan Iman Taheri, dengan menyajikan gabungan unik elemen seram, misteri, supernatural serta siasatan polis.
Bagi penggemar filem seram Hong Kong, karya ini wajar ditonton, namun adakah garapan terbaharu Pang Brothers ini benar-benar memberikan kesan meremang atau sekadar bersandarkan konsep yang unik?
Ia mengisahkan Lan Pui Ching (Josie Ho), seorang bekas peramal nasib yang kini menyara hidup dengan mengumpul barangan terbuang.
Pui Ching mempunyai kebolehan luar biasa apabila barangan terpakai itu bukan sekadar sampah, sebaliknya medium yang menyimpan roh serta sisa ingatan individu yang meninggal dunia secara mengejut.
Takdir membawanya bekerjasama dengan pegawai polis, Wong Ming (Carlos Chan) apabila siri kematian misteri mula menghantui.
Siasatan yang disangka biasa akhirnya membongkar rahsia jauh lebih gelap merangkumi amalan ritual kuno dan fenomena mistik yang menaikkan bulu roma penonton.
Sementara itu, Danny berkata, dia mendapat inspirasi cerita ini daripada seorang kenalan yang gemar mengutip barangan terbuang atas kepercayaan sama.
Lebih menarik, Josie Ho mendedahkan kali pertama dia mendengar idea cerita itu daripada Danny di dapur rumahnya sendiri.
Malah, Josie terpaksa berdepan ketakutan peribadi apabila dia perlu menjalani penggambaran dalam set yang dipenuhi kira-kira dua tan barangan terbuang sehingga dilaporkan mengalami ruam.
Namun bagi Josie, filem ini membawa mesej yang jauh lebih besar daripada sekadar ketakutan.
“Saya pertama kali mendengar cerita ini daripada Danny di dapur, walaupun berada di tempat paling kotor, kita masih boleh melihat kebaikan di dalamnya,” katanya.
Pandangan itu turut disokong penerbit, Conroy Chan yang menegaskan di sebalik elemen supernatural, The Mage membawa mesej universal mengenai trauma, kehilangan, ketiadaan syarat dalam kasih sayang serta kepentingan berbuat baik kepada orang lain.
Satu lagi tarikan filem ini ialah kemunculan pelakon baharu, Iman Taheri yang sebenarnya mempunyai latar belakang sebagai seorang pakar bedah sebelum menceburi bidang lakonan.
Sebelum mendarat di pasaran tempatan, The Mage terlebih dahulu mencipta gelombang di peringkat antarabangsa dengan mengadakan tayangan perdana di Festival Filem Fantastik Antarabangsa Bucheon (BIFAN), Korea Selatan.
Malah, Josie Ho turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Fantastik atas sumbangan besarnya dalam dunia filem.
Selain itu, filem berkenaan turut mengukir sejarah sebagai produksi berbahasa Cina dari Hong Kong yang pertama dipilih menjadi filem pembukaan bagi ‘midnight section’ di Festival Filem Antarabangsa Bangkok (BKKIFF) pada 14 September lalu.
Kejayaan itu diteruskan lagi dengan penyertaannya dalam Festival Filem Fantastik Antarabangsa Sitges Catalonia, Sepanyol iaitu antara festival filem fantasi paling berprestij di dunia.
Secara keseluruhannya, The Mage ternyata menyimpang daripada kebiasaan filem seram komersial.
Ia bukan sekadar kemunculan entiti untuk mengejutkan penonton menerusi teknik ‘jumpscare’ murahan, sebaliknya menyelami tema beban rasa bersalah dan pencarian keredaan atas kesilapan lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




