Sarat impak menggetarkan

Sarat impak menggetarkan

syafil.syazwan@hmetro.com.my

FILEM: Baga: Esok Untuk Siapa

PENGARAH: Ariff Zulkarnain

PENULIS: Ariff Zulkarnain

PELAKON: Amir Ahnaf, Amirah Razak, Wan Hanafi Su, Idham Maulana, Cech Adrea, Asrulfaizal Kamaruzaman, Mat Over, Fad Anuar, Zalif Sidek

PRODUKSI: Indigo Films, Skop Productions

TERBITAN: Primeworks Studios, Astro Shaw

TAYANGAN: 5 November 2026

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

Pertama kali terpandang poster filem Baga: Esok Untuk Siapa, ‘vibes’ retro yang dipaparkan pantas mencuri pandangan, namun penulis enggan meletakkan sebarang jangkaan mahupun andaian terlalu awal.

Bagaimanapun, sebaik meneliti barisan pelakon yang diterajui bakat muda meningkat naik, Amir Ahnaf bersama tokoh lakon veteran berkaliber, Wan Hanafi Su, timbul sedetik rasa keterujaan terhadap apa yang bakal dihidangkan.

Kedua-dua figura ini memiliki aura tersendiri biarpun datang daripada dua generasi berbeza.

Menariknya, barisan pelakon lain menampilkan wajah-wajah baharu (selain Mat Over, Zalif Sidek dan Fad Anuar sebagai pelakon pembantu). Satu percaturan berani dan wajar dipuji daripada pengarah, Ariff Zulkarnain.

Meskipun dihasilkan dengan bajet sederhana sekitar RM700,000, naskhah bergenre drama jenayah ini membuktikan wang ringgit bukan penentu kualiti apabila ia sarat dengan impak yang mampu menjentik hati setiap penonton.

Menghayati penceritaannya, Ariff menterjemahkan realiti kehidupan pahit yang berlaku dalam masyarakat di Terengganu, khususnya penularan najis dadah dalam kalangan anak muda.

Mesejnya cukup jelas dan telus, menyingkap bagaimana bahan terlarang itu begitu mudah didapati dan berleluasa.

Ariff tidak perlu memperincikan setiap langkah perbuatan ‘tahi dadah’ secara teknikal, garapannya ringkas tetapi padat dan mudah dihadam.

Sebagai penonton yang tidak terpalit dengan bahan terlarang, penulis pantas mengerti betapa perit dan kelamnya kitaran hidup seorang penagih dadah.

Naskhah ini mungkin tidak dihasilkan semata-mata untuk mengejar nilai komersial yang menjadi selera arus perdana masa kini, sebaliknya ia lahir atas dasar tanggungjawab sosial yang tebal.

Kelebihan ketara filem ini terletak pada ‘pace’ penceritaannya. Tiada babak yang meleret atau membuang masa.

Setiap inci ruang masa dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina dan memperkukuhkan dinamik serta latar belakang watak agar penonton dapat bersimpati dan terhubung secara langsung.

Dari segi lakonan, Amir Ahnaf sekali lagi membuktikan taringnya. Dia berjaya ‘blend’ sepenuhnya ke dalam jiwa watak Jani. Bukan sekadar perubahan fizikal, malah emosi Jani meresap kemas ke dalam lakonannya.

Berbekalkan kelebihan dirinya sebagai anak Pantai Timur, lontaran dialog dalam dialek Terengganu mengalir lancar tanpa kedengaran canggung.

Sebagai percubaan sulung, visi Ariff terpancar jelas. Dia tahu ke mana arah tuju yang ingin dibawa dan bijak memanipulasi emosi sehingga ada detik yang berjaya meruntun jiwa serta menitiskan air mata.

Ada babak-babak yang membuatkan saya sebagai penulis turut rasa ‘baga’ atau gelisah dalam dialek Pantai Timur.

Pujian turut wajar diberikan kepada aspek sinematografi. Sentuhan gred warna (color grading) dalam satu babak rompakan memperlihatkan kelainan yang ketara.

Ketika menonton, timbul persoalan sama ada babak itu sekadar imbas kembali (flashback) atau sebaliknya, namun sebaik tamat tayangan, simbolik dan maksud tersirat di sebalik pilihan visual itu terjawab dengan kemas.

Kekuatan filem ini dilengkapkan lagi dengan deretan lagu latar klasik, termasuk karya malar segar Suci Dalam Debu yang menjadi cetusan idea asal serta panduan Ariff dalam menghidupkan karya ini.

Secara keseluruhannya, Baga: Esok Untuk Siapa adalah sebuah naskhah jujur, berani dan bernyawa.

Tidak hairanlah penulis bersama rakan media lain sebulat suara memberikan penarafan lima bintang penuh untuk naskhah hebat ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top